Khamis, Mac 5

Bayar LHDN guna kad kredit tidak tambah hutang isi rumah

Pembayaran cukai pendapatan menggunakan kad kredit tidak akan menambahkan hutang isi rumah tetapi hanya untuk menambah kaedah cara pembayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tegas Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Kewangan menjelaskan kebenaran untuk pembayaran cukai pendapatan dengan menggunakan kad kredit adalah selepas meneliti dalam tempoh waktu yang panjang.

Hutang kad kredit oleh isi rumah di Malaysia hanyalah 3.9 peratus. Beliau berkata selebihnya kebanyakan isi rumah berhutang terhadap pembelian harta kediaman iaitu sebanyak 45.7 peratus.

“Selain itu sebanyak 16.6 peratus pula untuk beli kenderaan, 15.7 peratus pinjaman peribadi, 7.7 peratus beli harta bukan kediaman seperti beli kedai dan 6.5 peratus untuk pembelian saham.

“Jadi 3.9 peratus hutang untuk kad kredit tidak akan meningkatkan hutang isi rumah,” kata Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan juga menolak dakwaan penggunaan kad kredit untuk membayar cukai pendapatan boleh menyebabkan muflis.

Katanya punca muflis daripada kad kredit hanya 6 peratus sahaja. Beliau berkata pihak Kementerian Kewangan telah berfikir panjang sebelum meluluskan pemohonan daripada LHDN.

“Ini kerana pemohonan daripada Lembaga Hasil telah ditolak sejak 9 Jun 2008,” katanya.

Bagaimanapun, selepas Maybank dan Visa memberikan caj yang rendah iaitu sebanyak 0.8 peratus, barulah Kementerian Kewangan meluluskan pemohonan tersebut.

Tegasnya lagi, pembayaran cukai pendapatan menggunakan kad kredit bukan diwajibkan untuk semua orang.

Jelasnya, ia hanya untuk menambah kaedah dalam cara pembayaran cukai tersebut.

“Jadi nanti tidak akan ada alasan lagi untuk rakyat tidak membayar cukai pendapatan,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan