Rabu, Februari 22

Doktor pakar jantung didakwa elak bayar cukai RM729,968

Seorang doktor pakar sakit jantung di dua buah hospital swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tujuh pertuduhan mengelak membayar cukai pendapatan berjumlah lebih RM729,000, selama tujuh tahun bermula 2007.

Dr. Ahmad Nizar Jamaluddin, 56, yang merupakan doktor di Pusat Perubatan Subang Jaya, Sela­ngor mengaku tidak bersalah terhadap ke semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Khai­rul Nizam Abu Bakar.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat Rudy Kurniawan Usman yang mewakili Ahmad Nizar selaku Orang Kena Saman (OKS) yang tidak dapat hadir ke mahkamah. Rudy merupakan seorang ejen cukai.

Ahmad Nizar selaku OKS didakwa secara sengaja dan dengan niat mengelak cukai pendapatan daripada perkhidmatan sebagai doktor pakar di Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Ara Damansara, Shah Alam, Selangor yang sepatutnya dimasukkan dalam Borang Nya­ta (Borang BE) bagi tahun taksiran 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 yang menyebabkan cukai terkurang seba­nyak RM729,968.25.

Beliau sepatutnya membayar cukai berjumlah RM66,414.60 bagi tahun 2007, RM123,326.82 (tahun 2008), RM120,017.43 (2009), RM104,760.76 (2010), RM97,583.72 (2011), RM89,545.30 (2012) dan RM128,319.62 (2013).

Jumlah keseluruhan pendapatan yang terlibat bagi tahun tersebut ialah RM2,763,445.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan