Ahad, Mac 12

CTOS VS CCRIS

APA ITU CTOS?

CTOS adalah singkatan dari Credit Tip Off Service Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat persendirian yang memberi kemudahan maklumat kewangan seseorang individu kepada pihak yang berminat, biasanya pihak bank dan syarikat pinjaman berlesen. Maklumat kewangan yang dimaksudkan di sini bukan bermaksud berapa jumlah wang simpanan seseorang individu itu ada tetapi lebih kepada situasi kedudukan kewangannya.

Terdapat 4 seksyen di dalam CTOS iaitu:-

Seksyen A – Nama Dan No. Kad Pengenalan Individu; yang mana memaparkan nama penuh dan no. kad pengenalan pemohon.

Seksyen B – Maklumat Perniagaan Individu; memaparkan syarikat yang dimiliki pemohon sama ada beliau sebagai pemilik tunggal, ahli kongsi, pengarah syarikat mahupun pemegang syer.

Seksyen C – Maklumat Saman dan Muflis; memaparkan maklumat sekiranya nama pemohon pernah disaman, status samannya (jika ada), muflis dan sebagainya – yang mana bermaksud sekiranya nama pemohon tersenarai maka dia bukanlah seorang yang kukuh dari segi kewangan atau dalam bahasa mudahnya ‘blacklist’ (mungkin satu masa dahulu; bukan sekarang atau juga mungkin dahulu; dan masih lagi sekarang ini) dan

Seksyen D – Rujukan Lain; yang mana biasanya ruangan ini memaparkan pinjaman yang dibuat oleh pemohon dari syarikat-syarikat yang lain yang melibatkan bayaran ansuran seperti motosikal, barangan elektrik, alat bantu belajar bahasa dan perabot rumah.

Jadi, secara ringkasnya CTOS hanya merupakan salah satu sistem rujukan yang digunakan untuk menilai sama ada nama anda sebagai pemohon ada disenaraihitam atau tidak, maklumat perniagaan berkaitan anda dan lain-lain bayaran ansuran yang sedang ditanggung. Namun jangan khuatir kerana tidak semua tentang diri dan pinjaman anda dapat diketahui pihak bank melalui sistem ini. Ada sistem yang lebih terperinci tentang diri anda yang dilihat oleh pihak bank dalam meluluskan pinjaman anda.

APA ITU CCRIS DAN DSR?

CCRIS atau Central Credit Reference Information System iaitu Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat ialah satu sistem pangkalan data berkomputer untuk mengutip, memproses, menyimpan dan menghasilkan maklumat kredit seseorang. Ia dikawal selia oleh Biro Kredit di bawah naungan Bank Negara Malaysia. Apabila seseorang individu atau syarikat membuat pinjaman dari mana-mana bank, maklumat pinjaman tersebut akan dikutip oleh Biro Kredit dan dimasukkan ke dalam laporan CCRIS ini. Di dalam laporan CCRIS terdapat 3 bahagian utama iaitu Laporan Ringkas Kredit, Laporan Kredit Terperinci dan Laporan Kredit Tambahan.

Laporan Ringkas Kredit terdapat 3 pecahan iaitu yang pertama menyatakan permohonan kredit yang dipohon sama ada yang telah diluluskan dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan yang masih dalam pertimbangan pihak bank. Pecahan kedua pula menyatakan liabiliti semasa yang ditanggung yang meliputi jumlah baki pinjaman dan jumlah had yang diberikan tidak kira sebagai peminjam dan penjamin. Pecahan terakhir pula menyatakan sekiranya ada tindakan undang-undang yang dikenakan. Jadi sekiranya anda disenarai hitam, dengan hanya melihat pada bahagian pertama laporan CCRIS sahaja pihak bank sudah boleh tahu status diri anda.

Laporan Kredit Terperinci adalah bahagian yang terpenting yang memberi gambaran terperinci dan menyeluruh tentang setiap satu pinjaman yang yang diperolehi oleh pelanggan sama ada untuk dirinya sendiri, secara bersama bagi akaun bersama, sebagai pemilik bagi perniagaan tunggal dan sebagai rakan kongsi bagi perniagaan perkongsian atau badan profesional berserta corak pembayaran untuk satu-satu pinjaman tersebut selama 12 bulan sebelumnya. Ini bermaksud sekiranya anda mempunyai pinjaman kenderaan, di sini ditunjukkan pada bulan berapa bayaran kenderaan ada tertunggak dan berapa bulan tunggakan tersebut untuk tempoh 12 bulan yang lalu. Bukan sahaja untuk pinjaman kenderaan sahaja, juga ditunjukkan di sini ialah pinjaman berjangka yang lain seperti rumah, kad kredit, overdraf, pinjaman peribadi, belian barang elektrik atau perabot secara ansuran, pemajakan, resit amanah, belian cek luar, pemfaktoran, belian bil-bil domestik dan lain-lain. Selain menunjukkan jenis pinjaman dan corak bayaran, butiran lain seperti tarikh pinjaman, status, kapasiti, jenis institusi yang memberi pinjaman, jumlah belum jelas, tarikh baki dikemaskini, tempoh pembayaran balik prinsipal, jenis cagaran, status undang-undang dan tarikh status dikemaskini turut dipaparkan di halaman ini. Apa maksudnya? Sekiranya 10 bulan lalu kereta anda tertunggak 3 bulan, walaupun sekarang ini anda telah ‘update’ dan tiada tunggakan, pihak bank tetap akan tahu perkara tersebut. Oleh itu tidak ada gunanya untuk berselindung.

Laporan Kredit Tambahan adalah merupakan bahagian terakhir dalam laporan CCRIS. Walaupun yang terakhir ia tidak kurang penting terutamanya kepada pihak pemberi pinjaman kerana di sinilah dinyatakan alamat-alamat yang pernah diduduki oleh pelanggan sama ada alamat rumah atau syarikat, nombor-nombor telefon tidak kira telefon rumah, pejabat ataupun telefon bimbit yang pernah atau masih digunakan oleh pelanggan dan juga maklumat pekerjaan pelanggan meliputi jawatan dan nama syarikat tempat pelanggan bekerja dulu dan kini. Jadi, jangan terkejut sekiranya pegawai bank boleh menyatakan dengan tepat sejarah tempat tinggal, nombor telefon dan perkerjaan anda ketika anda membuat pinjaman dengan pihak bank. Dan nasihat saya, jangan cuba memberi maklumat palsu kepada pihak bank dalam apa-apa permohonan pinjaman kerana maklumat diri anda di hujung jari mereka dengan adanya laporan CCRIS ini.

Apa yang boleh kami nyatakan di sini, laporan CCRIS hanya menunjukkan corak bayaran selama 12 bulan terdahulu. Sekiranya tunggakan bayaran berlaku lebih dari 12 bulan lalu, usah khuatir kerana ia tidak nampak di dalam laporan CCRIS ini selagi tiada tindakan undang-undang dikenakan. Selain itu, bagi pinjaman yang telah diselesaikan sepenuhnya baki pinjaman, laporan berkenaan pinjaman tersebut akan diluputkan sepenuhnya dari laporan CCRIS dalam masa paling lama pun sebulan sahaja. Jadi, walaupun pernah bayaran kurang memuaskan pada satu-satu masa lalu sebaik sahaja bayaran telah dijelaskan sepenuhnya maka sejarah tersebut tidak kelihatan lagi.

Daripada laporan credit CCRIS inilah bank akan membuat penilaian sama ada utk meluluskan atau menolak permohonan anda. Maklumat ini akan digunakan untuk mengira DSR (Debt Service Ratio) anda setiap bulan. Ada sesetengah institusi kewangan akan menolak permohonan pinjaman perumahan sekiranya DSR berada pada tahap 50% atau lebih, namun tidak semua institusi kewangan begitu.

Sebab Permohonan Pinjaman Ditolak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan