Seksyen 107D ACP adalah peruntukan yang diperkenalkan bagi mewajibkan syarikat untuk membuat potongan cukai 2% terhadap pembayaran tunai yang dibuat kepada ejen, pengedar atau pengagih (EPP). Potongan cukai 2% perlulah diremit kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam tempoh 30 hari selepas pembayaran dibuat.
Potongan ini diperkenalkan berikutan langkah kerajaan dalam memastikan pematuhan pembayaran cukai di kalangan pembayar cukai yang melibatkan EPP.
EPP adalah merupakan seorang individu pemastautin yang diberi kuasa oleh syarikat pembayar untuk bertindak sebagai EPP dan menerima bayaran yang terbit daripada hasil jualan, transaksi atau skim yang dijalankan oleh EPP tersebut.
Pengusaha milikan tunggal adalah termasuk sebagai individu yang dimaksudkan. Jika pembayaran dibuat kepada ahli kongsi individu maka ia tertakluk di bawah peruntukan ini. Walau bagaimanapun jika bayaran dibuat kepada sebuah perkongsian maka ia adalah tidak tertakluk di bawah peruntukan ini.
Semua jenis bayaran yang terbit hasil daripada jualan, transaksi atau skim yang dijalankan oleh EPP yang diberi kuasa oleh syarikat seperti komisen dan insentif dalam bentuk tunai.
Nota kredit, kontra dan diskaun tidak tertakluk kepada potongan cukai di bawah seksyen 107D ACP.
Potongan cukai 2% dikenakan dalam tahun semasa kepada EPP yang menerima bayaran daripada syarikat pembayar yang bersamaan atau melebihi nilai ambang dalam tahun sebelumnya.
Nilai ambang adalah ditetapkan pada amaun RM100,000 meliputi jumlah bayaran tunai dan bukan tunai yang diterima dalam tahun sebelumnya.
Penentuan nilai ambang merujuk kepada bayaran yang diterima daripada satu syarikat pembayar sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan