Hajat
pelakon dan ahli perniagaan, Rozita Che Wan atau Che Ta untuk meraikan
ulang tahun kedua hari lahir anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana, di
London tidak kesampaian kerana berdepan dengan masalah tunggakan cukai.
Che Ta telah membuat tempahan lokasi dan persiapan bagi meraikan hari
istimewa itu tetapi hasratnya itu tersekat buat sementara waktu oleh
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Che Ta menjelaskan
bahawa beliau perlu melunaskan sejumlah tunggakan yang besar sekiranya
ingin ke luar negara.
"Jumlah tunggakan cukai yang perlu dibayar itu besar nilainya. Saya pula belum mampu untuk menjelaskan bayarannya sekali gus.
"Saya telah mengadakan pertemuan bersama pihak LHDN berhubung perkara
ini. Mahu atau tidak, saya memang perlu menyelesaikan tunggakan
berkenaan.
"Buat masa ini, nak bayar separuh dari jumlah itu pun saya belum mampu
lakukan lagi," katanya yang sepatutnya terbang ke London, Ahad lalu.
Walau bagaimanapun, Che Ta bersyukur anaknya itu masih kecil dan belum memahami masalah yang dihadapinya itu.
"Mujur Aaisyah masih kecil dan tidak faham masalah yang saya lalui. Kalau sudah besar, barangkali dia akan berkecil hati.
"Cuma moodnya memang kurang baik hari ini. Saya jarang membawanya ke
acara yang membabitkan ramai orang. Jadi, memang dia tidak biasa dengan
situasi seperti ini," katanya yang merujuk kepada majlis tertutup yang
hanya dihadiri oleh keluarga dan kenalan terdekatnya.
Sebagai ibu, beliau berusaha untuk membahagiakan anak-anaknya.
"Sebelum ini, majlis hari lahir abangnya, Ammar, umpamanya diadakan di
Santorini, Greece. Cuma nasib Aaisyah kurang baik apabila saya berdepan
dengan masalah ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan