Khamis, Januari 5

Jangan ingat kami tak tahu, kata LHDN kepada artis culas cukai

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa memantau perkembangan pendapatan artis walaupun golongan terbabit berdiam diri untuk mengelak daripada membayar cukai.

Datuk Mohd Nizom Sairi berkata pihaknya mempunyai sumber rujukan kukuh mengesan golongan artis yang culas mengisytihar harta.

“Mungkin mereka ambil pendekatan mendiamkan diri untuk mengelak cukai namun pihak LDHN, kami sentiasa ‘memasang mata dan telinga’ untuk mengesan golongan itu yang culas menjalankan tanggungjawab berkenaan,” kata Timbalan Pegawai Eksekutif (Pengurusan) itu.

“Kami mempunyai banyak sumber dan pihak ketiga yang boleh dirujuk bagi mengetahui jumlah sebenar pendapatan diraih golongan selebriti ini sama ada melalui transaksi kontrak mahupun aset dimiliki mereka.”

Namun katanya LHDN tidak memiliki statistik sebenar jumlah selebriti yang mempunyai pendapatan tinggi.

Bagi tempoh tahun ini, katanya seramai 61 selebriti dikenal pasti layak membayar cukai namun hanya 32 orang sahaja yang menjalankan tanggungjawab.

Ramai artis berstatus jutawan melengah-lengahkan bayaran cukai selain tidak pernah menghantar borang berkaitan.

Memetik sumber, beberapa pelakon, pengarah dan pengacara popular antara yang tersenarai namun dilihat berkereta mewah dan kerap melancong ke luar negara.

Malah ada pengarah filem dilaporkan tidak pernah menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan enggan berbuat sedemikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan