Kali ini kami ingin berkongsi dengan anda tip-tip untuk kenalpasti adakah wujud unsur penipuan dalam pinjaman yang ingin anda mohon.
- Kena Bayar Wang Pendahuluan
Hati-hati jika ejen atau pegawai daripada agensi kewangan itu meminta kita bayar apa-apa wang pendahuluan dalam proses mendapatkan pinjaman. Ini bermakna kita sedang ditipu.
Institusi pinjaman wang yang sah tidak akan meminta peminjam untuk membayar apa-apa yuran permohonan. Dan menjadi satu kesalahan sekiranya mereka berbuat demikian.
Selalunya mereka akan beri alasan bahawa bayaran ini adalah disebabkan rekod CCRIS kita yang kurang cantik. Sekiranya memang terdapat bayaran yang perlu anda lakukan untuk proses pinjaman, bayaran itu sepatutnya akan dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman yang kita mohon. Jadi secara logiknya, kita tak perlu bayar duit kepada mereka sewaktu proses permohonan pinjaman dibuat.
- Perlu Beri Kad ATM / Kad Debit
Ini lagi bahaya! Mereka ini mungkin akan meminta duit daripada kita sebaik sahaja pinjaman diluluskan. Kad ATM/ Debit kita pula diserahkan dan berada di tangan mereka, jadi senanglah mereka untuk mengeluarkan duit daripada akaun kita sesuka hati.
Selagi bayaran pinjaman tidak habis dilunaskan, selagi itulah kad bank kita berada dalam tangan mereka.
- Jumlah Pinjaman Lebih Daripada Yang Dimohon
Satu lagi taktik popular yang dilakukan para penipu ini adalah menghubungi kita melalui emel atau panggilan telefon. Mereka cuba menarik minat kita dengan tawaran pinjaman dengan kadar faedah yang rendah.
Bagi yang memang ingin memohon pinjaman pula, berhati-hati sekiranya mereka menawarkan jumlah pinjaman lebih daripada apa yang kita pohon. Pastikan kesahihan tawaran ini sebelum kita meneruskan dengan proses pinjaman.
- Tawaran Terlalu Bagus
Setiap orang pasti akan tertarik dengan tawaran kadar faedah yang rendah, jaminan wang tunai dan juga kelulusan 100%. Tetapi kita perlu ingat, semua pemberi pinjaman mahukan kembali wang mereka. Sebab itulah bank amat berhati-hati untuk meluluskan sesuatu pinjaman.
Mereka akan menilai pelbagai aspek seperti kemampuan pemohon untuk membayar balik pinjaman dan juga skor kredit pemohon pinjaman. Kalaulah pemberi pinjaman itu beriya-iya ingin memberikan pinjaman kepada kita tanpa menilai rekod kredit dan juga kemampuan kita untuk membayat balik pinjaman, maksudnya ada benda yang tak kenalah tu.
- Now Or Never
Ada juga penipu yang menggunakan taktik ‘tawaran istimewa’ untuk menarik minat kita sebagai bakal peminjam. Kemudian mereka akan memujuk kita untuk segera bersetuju untuk menjadi bakal peminjam, kononnya jika kita lambat bertindak ‘tawaran istimewa’ tersebut akan berakhir.
Abaikan mereka! Loan merupakan satu komitmen kewangan yang tinggi. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat sebarang keputusan. Pastikan dulu dengan siapa kita sedang berurusan.
- Pihak Yang Mencurigakan Ingin Meminta Maklumat Peribadi
Bukan semua penipu ini mahukan duit kita. Ada yang menyamar sebagai wakil bank atau syarikat pinjaman terkemuka yang menghubungi anda melalui telefon, emel atau media sosial untuk meminta maklumat peribadi kita.
Jika kita pernah menerima panggilan seperti ini, jangan layan! Mereka cuma mahu mencuri identiti kita untuk digunakan bagi tujuan tertentu.
Jadi jangan mudah terpedaya dengan memberikan salinan kad pengenalan, lesen memandu atau maklumat mengenai akaun bank kita kecuali kita tahu untuk apa dan kepada siapa maklumat peribadi tersebut akan diberikan.
Jika kita dapati terdapat ciri-ciri di atas semasa ingin membuat permohonan pinjaman dengan mana-mana syarikat pinjaman, lebih baik kita batalkan saja niat tersebut. Lebih baik berwaspada takut nanti menyesal pula di kemudian hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan