Ahad, Disember 6

Bagaimana Jualan Nike Naik Walaupun Menghadapi Covid-19?


Nike yang terkenal sebagai sebuah syarikat terbesar dalam menghasilkan barangan sukan nampak seperti tidak terjejas teruk akibat krisis Covid-19. Lebih mengejutkan, pada suku ketiga kewangan pada tahun 2020, jualan syarikat tersebut telah meningkat.

Apa Yang Nike Buat?

Rahsia Nike adalah jualan online yang kukuh. Nike mula menjual produk mereka secara online sejak tiga tahun lepas di dalam platform e-commerce terbesar dunia iaitu Amazon.

Pada ketika itu, syarikat ini sedar bahawa perniagaan online bakal menjadi satu fenomena pada masa hadapan. Ternyata langkah yang diambil oleh Nike itu menjadi langkah terbaik kepada syarikat tersebut pada tahun 2020. Jualan yang diperolehi oleh Nike bergantung sepenuhnya kepada jualan secara online.

Disebabkan banyak gedung mereka terpaksa ditutup akibat pandemik, jualan secara online telah menjadi penyelamat. Antara langkah awal yang diambil oleh Nike sebelum pandemik ini adalah dengan menamatkan kerjasama dengan Amazon pada akhir tahun 2019.

Nike menamatkan kerjasama dengan Amazon disebabkan mereka membangunkan platform online mereka sendiri yang mana lebih memberi keuntungan kepada syarikat pada tempoh jangka masa yang panjang. Seperti yang sedia maklum, maklumat para pelanggan yang menggunakan platform Amazon hanya dipegang oleh pihak Amazon dan maklumat tersebut tidak dikongsi kepada pihak penjual.

Nike melihat ini sebagai satu kerugian untuk tempoh jangka masa yang panjang sekiranya mereka tidak mendapat maklumat yang tepat tentang behavior pelanggan mereka dalam membeli belah melalui platform online.

Selain itu juga, Nike ingin menjaga reputasi jenama mereka sendiri. Di dalam platform Amazon, terdapat juga peniaga yang menjual barangan Nike yang tiruan dan perkara ini sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi jenama Nike dan membuat pelanggan mereka keliru.

Nike telah menambahbaik platform online mereka sendiri yang diberi nama NikePlus. Ia merupakan program yang mempunyai 10 juta ahli yang boleh berinteraksi dengan syarikat tersebut.

Selain itu juga, Nike turut memperkenalkan Nike Live yang merupakan gedung khusus untuk ahli yang berdaftar yang ingin membeli produk dari Nike.

Nike yang membangunkan platform ini bagi mengumpul sebanyak mungkin data pelanggan mereka bagi memudahkan mereka membuat kajian tentang barangan yang digemari oleh pelanggan mereka. Selain daripada itu, Nike turut memperkemaskan aplikasi Nike Training Club yang mana berkongsi maklumat dan mendapat tips yang betul ketika melakukan aktiviti bersukan.

Hasil yang diperolehi oleh Nike ternyata berbaloi apabila syarikat itu berjaya meningkatkan harga saham mereka sebanyak 10% pada bulan Oktober 2020 hasil daripada pendapatan yang luarbiasa.

Mereka telah berjaya memecah rekod penganalisa yang menjangkakan jualan Nike untuk tahun 2020 hanyalah sekitar USD9.15 bilion, tetapi Nike telah membuktikan dengan jualan sebanyak USD10.6 bilion pada suku tahun ketiga.

Nike kini bernilai USD204 bilion dan membuktikan bahawa jualan online mereka bakal menjadi pendapatan utama syarikat itu pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan