Rabu, Februari 17

LHDN buru doktor kerana salah isytihar cukai


Doktor di syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan perubatan kepada hospital kini sedang diburu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana kesalahan salah mengisytiharkan cukai, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). 

Doktor ini membuka firma mereka sendiri dengan menyangka perancangan cukai mereka akan jadi lebih mudah, kata Presiden MMA Dr Ashok Zakaria Philip, yang bertemu sebahagian daripada mereka sebelum tahun baru.

Tetapi Dr Ashok diberitahu, LHDN kini memburu doktor berkenaan kerana mereka menandatangani kontrak dengan hospital untuk menyediakan perkhidmatan perubatan atas nama mereka sendiri, bukan nama syarikat.

"Oleh itu, mereka berkata, pendapatan disalah isytihar, terdapat kekurangan dalam jumlah kutipan cukai dan LHDN mengesan perkara ini 5 tahun lalu dan meminta dikenakan hukuman 100%," katanya.

Beliau berkata, ini tidak adil kerana doktor itu bertindak atas nasihat profesional perunding cukai.

"Tambahan pula, ramai doktor yang terlibat sudah diaudit dalam tempoh 5 tahun ini.

"Jika pada masa itu mereka tidak diberitahu mengenai masalah dengan syarikat mereka ini, apakah rasional mengundur 5 tahun ke belakang?" soal Dr Ashok.

Beliau menggesa LHDN menimbang semula tindakannya, mengatakan tiada sebarang unsur salah laku terlibat dan tidak ada keperluan mengenakan tindakan retrospektif begitu.

"Adakah perlu membuatkan seseorang menjalankan tugas mengikut undang-undang jatuh bankrap, sehingga LHDN tiba-tiba mengubah apa yang menjadi amalannya selama ini sejak merdeka?" soalnya.

Beliau berkata, doktor merupakan kerjaya yang dihormati dan memegang tanggungjawab sosial yang berat, tetapi, pendapatan mereka sebenarnya jauh lebih rendah daripada sangkaan orang ramai.

"Yuran kami dihadkan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta. Pesakit kami, apabila melihat bil hospital, tidak sedar hanya kira-kira 10% hingga 30% daripadanya adalah untuk doktor.

"Sebahagian besarnya pergi ke hospital, yang mana yurannya tidak dikawal langsung," kata Dr Ashok.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, pegawai media LHDN Masrun Maslim berkata, MMA tidak pernah memberikan sebarang bukti kukuh menyokong dakwaan mereka itu.

Masrum berkata, bukan amalan LHDN untuk mengeluarkan kenyataan kepada media.

"Nasihat saya kepada presiden MMA, tunjukkan buktinya kepada LHDN, dan kami boleh memberi maklum balas. Terpulang kepada MMA untuk mendedahkan maklumat itu atau tidak."

Sementara itu, perunding cukai bebas Dr Veerinderjeet Singh berkata, beliau tidak fikir LHDN membuat kesilapan, jika benar doktor membayar cukai atas nama mereka sendiri untuk perkhidmatan yang diberi kepada hospital swasta.

Beliau berkata, masalah itu berpunca daripada doktor yang tidak faham tentang cukai dan bertindak berdasarkan nasihat silap daripada akauntan.

"Saya tidak fikir pihak berkuasa cukai yang salah, jika melihat kepada surat undang-undang itu. Jika kepala surat di invois menyatakan nama syarikat, maka cukai perlu dibayar atas nama syarikat.

"Tetapi jika kepala surat itu meletakkan nama doktor itu, maka ia dianggap pendapatan doktor dan cukai perlu dibayar atas namanya sendiri," kata Veerinderjeet.

Beliau berkata, undang-undang memberi kuasa kepada LHDN mengundurkan penalti cukai sehingga lima tahun, jika cukai salah diisytiharkan kerana kesilapan yang sama.

Katanya, LHDN mempunyai budi bicara untuk tidak mengambil tindakan retrospektif ke atas doktor, tetapi ia masih perlu bertindak berdasarkan logik dan fakta.

"Pihak berkuasa cukai akan meminta doktor menjelaskan mengapa syarikat itu tidak mengeluarkan invois kepada hospital.

"Dan jika doktor tidak dapat menjelaskan sebabnya dengan baik, saya tidak fikir pihak berkuasa akan lepaskannya begitu saja,” katanya.

Beliau mencadangkan doktor berunding dengan akauntan mereka bagi menyelesaikan masalah itu.

"Jika doktor berkata mereka menubuhkan syarikat di bawah nasihat akauntan mereka, dan jika akauntan itu yang mengendalikan akaun mereka, dan sedar invois dikeluarkan salah, maka doktor boleh meminta akauntan mereka memikul tanggungjawab itu.

"Adakah akauntan berkenaan sudah memaklumkan kepada mereka tentang kesilapan itu dan ia perlu diperbetulkan? Mungkin akauntan profesional itu tidak memberi nasihat sewajarnya.

"Para akauntan ini yang seharusnya berurusan dengan pihak berkuasa cukai bagi pihak pembayar cukai. Akauntan perlu menyelesaikan isu ini."

Veerinderjeet berkata, jika doktor atau akauntan mereka boleh mewajarkan pembayaran cukai yang salah itu, dan membuktikan ia memang benar-benar satu kesilapan, LHDN akan mengambil kira penjelasan mereka. – 7 Januari, 2016.
Doktor di syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan perubatan kepada hospital kini sedang diburu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana kesalahan salah mengisytiharkan cukai, menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA). - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/lhdn-buru-doktor-kerana-kutipan-cukai#sthash.vD0PuR9M.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan