Sabtu, Februari 27

Siapa Tahu Mengapa Ada KFC, Mesti Ada McD?


Sudah menjadi kebiasaan kita lihat perniagaan yang membuka kedai di tempat yang sama. Kalau tidak bersebelahan, pasti tidak jauh di antara satu sama lain. Mungkin jarak selang beberapa kedai. Sebagai contoh, kita selalu lihat kalau ada KFC pasti ada McD di tempat yang sama.

Sama juga dengan stesen minyak. Di mana ada BP, pasti ada Shell atau Mobil berhampiran.

Mengapa ini terjadi? Jom kita baca fenomena menarik ini.

Ilustrasi

Apa sebenarnya yang berlaku? Cuba bayangkan ilustrasi berikut:

Di satu jalan kampung, ada seorang peniaga nasi lemak. Panjang jalan tersebut satu kilometer. Peniaga tersebut menjual nasi lemak di tengah-tengah supaya dapat pelanggan dari 500 meter di sebelah kirinya dan dari 500meter di sebelah kanannya.

Pada keesokan harinya, ada seorang lagi peniaga nasi lemak yang ingin berniaga di jalan kampung tersebut. Supaya adil, mereka memutuskan untuk memisahkan tempat jualan. Seorang akan menjual di sebelah kiri manakala seorang lagi akan menjual di sebelah kanan. Ini bermaksud seorang peniaga akan mendapat pelanggan dalam jarak 250 meter dari kiri dan kanan masing-masing.

Pembahagian wilayah jualan yang sama rata

Tetapi, disebabkan peniaga yang kedua ingin mendapatkan keuntungan yang lebih, beliau menggerakkan gerai jualannya supaya jumlah wilayah jualannya semakin bertambah. Dia menggerakkan gerainya 200 meter ke kiri supaya mendapat 700meter wilayah jualan.

Peniaga 2 mengambil wilayah jualan lebih banyak

Kemudian, peniaga yang pertama mula menyedari hal tersebut dan juga menggerakkan gerai jualannya ke kanan untuk mendapat lebih untung. Mereka saling menggerakkan gerai jualan masing-masing sehinggakan pada suatu masa, mereka tidak dapat lagi menambah keuntungan kerana masing-masing sudah tidak dapat menggerakkan gerai jualan.

Pada masa tersebut, ini adalah posisi yang paling optimal kerana pesaing sudah tidak dapat bergerak sehingga mereka kelihatan seperti bersebelahan. Fenomena ini dinamakan ‘Nash Equilibrium’.

Konsep ini dicetuskan oleh seorang ahli matematik yang bernama John Forbes Nash Jr, di mana kita akan mula mengambil langkah apabila pesaing kita sudah tidak mampu untuk menukar strategi mereka untuk setiap tindakan strategi yang telah kita lakukan.

Dengan ilustrasi ringkas di atas, kita tahu sebab kenapa KFC dan McD selalu berdekatan di antara satu sama lain selain mengambil kira faktor-faktor lain seperti jumlah pengguna, jarak pembekal dan sebagainya.

Trend ini biasanya terjadi pada kedai perniagaan besar seperti francais kerana mereka sudah faham konsep ini dan boleh mengurangkan waktu dan kos untuk membuat penyelidikan. Mereka terus membuka kedai berdekatan dengan kedai-kedai pesaing selepas melihat jumlah jualan yang diperolehi oleh pesaing tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan