Penghijrahan warga Itali ke Amerika Syarikat telah membawa bersama dengan makanan tradisi mereka. Piza mula popular di Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua di mana banyak syarikat piza muncul pada ketika itu.
Yang paling popular adalah Pizza Hut dan juga Domino’s Pizza. Kedua-duanya diasaskan oleh rakyat Amerika Syarikat yang bukan berketurunan Itali.
Bagaimana Domino’s Pizza Bermula?
Domino’s Pizza telah diasaskan oleh Tom Monaghan bersama dengan abangnya pada tahun 1960. Jika dibandingkan dengan Pizza Hut, Domino’s Pizza lebih lewat dalam 2 tahun memasuki pasaran.
Pada asalnya, Domino’s Pizza ini bernama DomiNick Pizza. Mereka kemudianya terpaksa menukar nama kedai pizanya kerana masalah hak cipta nama tersebut dan tidak lagi dibenarkan untuk beroperasi.
Akhirnya, beliau menamakannya Domino’s Pizza. Tom Monaghan mula mengembangkan operasi pada tahun 1967 apabila membenarkan francais syarikatnya digunakan.
Pada waktu tersebut, Pizza Hut telah menguasai pasaran piza di Amerika Syarikat dengan francais yang lebih banyak berbanding dengan Domino’s Pizza yang baru sahaja bermula.
Walaupun dilihat sukar untuk bersaing dengan Pizza Hut, ia tidak sedikit pun melemahkan semangat Tom Monaghan. Domino’s Pizza sejak dari mula lagi terkenal dengan penghantaran piza secara percuma dan ia telah menjadi teras perniagaan syarikat ini.
Pada era 1980-an, Domino’s Pizza telah memperkenalkan satu teknik pemasaran yang unik di mana setiap piza yang dipesan akan sampai kurang dalam tempoh 30 minit. Jika melebihi tempoh 30 minit, pelanggan akan diberi piza secara percuma.
Kempen ini telah berjaya menaikan jenama Domino’s Pizza pada era 1990-an di samping memperkenalkan menu yang baru pada ketika itu. Setelah berada di puncak kejayaan, Tom Monaghan telah menjual keseluruhan saham perniagaan kepada syarikat pelaburan Bain Capital pada tahun 1998, dengan harga USD1 bilion.
Zaman Kemelesetan Pizza
Setiap perniagaan mempunyai naik dan turun. Begitu juga yang terjadi kepada Domino’s Pizza. Selain daripada persaingan sengit, mereka juga turut bersaing dengan kepopularan piza segera yang dijual di pasar raya.
Piza segera menjadi popular di kalangan rakyat Amerika Syarikat disebabkan harga yang murah dan senang untuk disediakan. Ini telah menyebabkan syarikat ini mengalami penurunan jualan pada dekad tersebut.
Kemelesetan ekonomi pada tahun 2008 telah memberi kesan yang besar kepada Domino’s Pizza. Pada waktu tersebut, syarikat ini berada di ambang kejatuhan dengan jualan yang semakin merudum.
Bagaimana Domino’s Pizza Kembali Menguasai Pasaran?
Semuanya berubah apabila syarikat ini melantik CEO yang baru, Patrick Doyle yang telah mendengar segala masalah pelanggan. Domino’s Pizza telah mengubah resipi piza mereka kerana mendapat rungutan daripada para pelanggan yang mengatakan rasa piza mereka seperti cardboard.
Mereka mula mengambil langkah memperbaharui semua resipi piza bagi memenuhi citarasa pelanggan.
Selain itu juga, Patrick Doyle turut membawa pembaharuan kepada Domino’s Pizza dari segi penghantaran. Beliau yang mengikuti perkembangan semasa dengan menggunakan teknologi semasa dalam melakukan penghantaran piza kepada pelanggan mereka.
Di antaranya adalah menggunakan dron dan juga e-hailing bagi mempercepatkan proses penghantaran piza kepada pelanggan. Mereka juga menggunakan media sosial dengan berkesan bagi mempromosi piza kepada para pelanggan.
Hasil yang diperolehi oleh Domino’s Pizza di bawah pengurusan Patrick Doyle sangat luar biasa. Pada tahun 2017, syarikat ini telah berjaya memintas Pizza Hut dari segi jualan.
Paling membanggakan adalah saham Domino’s Pizza pada akhir tahun 2008 hanya bernilai USD3 kini telah meningkat kepada USD400 dalam tempoh 12 tahun.
Nasib Domino’s Pizza Ketika Musim Pandemik
Ketika musim pandemik berlaku, permintaan terhadap Domino’s Pizza begitu menggalakkan dan perniagaan mereka telah meningkat sebanyak 17.5% di Amerika Syarikat dan dijangka akan terus berkembang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan