Khamis, Mac 11

Apa yang Perlu Isteri tahu tentang Wasiat?

 

Jom kita tengok mengenai topik apa yang perlu seorang isteri tahu berkenaan wasiat.

1. Jika suami tidak membuat wasiat, semua harta pusakanya akan dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak;

2. Jika suami membuat wasiat secara lisan, isteri atau mana-mana waris atau mana-mana wasi/pentadbir yang dilantik perlu ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan wasiat;

3. Jika suami membuat wasiat secara bertulis, isteri atau mana2 waris atau mana-mana wasi/pentadbir yang dilantik perlu ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan wasiat;

4. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada waris-waris, wasiatnya tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris yang lain;

5. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada bukan waris (orang yang terhalang menerima pusaka suami, anak angkat, anak susuan, anak tak sah taraf, anak li’an, keluarga mertua, institusi kebajikan, masjid-masjid dan surau-surau) pada kadar tidak melebihi daripada 1/3, wasiatnya wajib dilaksanakan kepada penerima wasiat tersebut;

6. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada bukan waris pada kadar melebihi daripada 1/3, wasiatnya perlu mendapatkan persetujuan daripada waris2 yang lain untuk kadar yang lebih tersebut. Sekiranya tidak dipersetujui oleh waris-waris, penerima wasiat yang bukan waris hanya layak menerima setakat 1/3 harta sahaja;

7. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada waris (isteri, anak-anak, ibu dan bapa atau kepada adik beradik jika suami tiada anak lelaki) pada kadar tidak melebihi 1/3 harta atau melebihi 1/3 harta, wasiatnya hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan waris-waris yang lain;

8. Jika suami mewasiatkan melarang isteri berkahwin lain selepas kematiannya, wasiat tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana bertentangan dengan hukum syarak;

9. Jika suami mewasiatkan kepada anak-anak supaya melakukan amal soleh, ia bukanlah wasiat sebaliknya adalah pesanan sahaja. Wasiat menurut syarak adalah berkaitan pembahagian harta sahaja;

10. Pembahagian harta yang diwasiatkan oleh suami dilaksanakan selepas diselesaikan segala urusan berkaitan jenazah suami dan hutang-piutang suami.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan