Memaparkan catatan dengan label excess of wills. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label excess of wills. Papar semua catatan

Khamis, Mac 11

Apa yang Perlu Isteri tahu tentang Wasiat?

 

Jom kita tengok mengenai topik apa yang perlu seorang isteri tahu berkenaan wasiat.

1. Jika suami tidak membuat wasiat, semua harta pusakanya akan dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak;

2. Jika suami membuat wasiat secara lisan, isteri atau mana-mana waris atau mana-mana wasi/pentadbir yang dilantik perlu ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan wasiat;

3. Jika suami membuat wasiat secara bertulis, isteri atau mana2 waris atau mana-mana wasi/pentadbir yang dilantik perlu ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk memohon perintah pengesahan wasiat;

4. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada waris-waris, wasiatnya tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris yang lain;

5. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada bukan waris (orang yang terhalang menerima pusaka suami, anak angkat, anak susuan, anak tak sah taraf, anak li’an, keluarga mertua, institusi kebajikan, masjid-masjid dan surau-surau) pada kadar tidak melebihi daripada 1/3, wasiatnya wajib dilaksanakan kepada penerima wasiat tersebut;

6. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada bukan waris pada kadar melebihi daripada 1/3, wasiatnya perlu mendapatkan persetujuan daripada waris2 yang lain untuk kadar yang lebih tersebut. Sekiranya tidak dipersetujui oleh waris-waris, penerima wasiat yang bukan waris hanya layak menerima setakat 1/3 harta sahaja;

7. Jika suami mewasiatkan hartanya kepada waris (isteri, anak-anak, ibu dan bapa atau kepada adik beradik jika suami tiada anak lelaki) pada kadar tidak melebihi 1/3 harta atau melebihi 1/3 harta, wasiatnya hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan waris-waris yang lain;

8. Jika suami mewasiatkan melarang isteri berkahwin lain selepas kematiannya, wasiat tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana bertentangan dengan hukum syarak;

9. Jika suami mewasiatkan kepada anak-anak supaya melakukan amal soleh, ia bukanlah wasiat sebaliknya adalah pesanan sahaja. Wasiat menurut syarak adalah berkaitan pembahagian harta sahaja;

10. Pembahagian harta yang diwasiatkan oleh suami dilaksanakan selepas diselesaikan segala urusan berkaitan jenazah suami dan hutang-piutang suami.


Selasa, November 24

Perbezaan Antara Wasiat dan Hibah

Masih ramai lagi yang terkeliru definisi, fungsi dan kaedah pelaksanaan wasiat dan hibah. Rata-rata melihat kedua-duanyanya sama sahaja, iaitu penukaran pemilikan harta selepas pemilik harta meninggal dunia.

1. Apakah Maksud Sebenar Wasiat Dan Hibah?

Definisi yang lebih padat dan mudah tentang wasiat dan hibah adalah seperti berikut:

Wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat manakala hibah pula ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah.

Walaupun sebenarnya definisi yang diberikan ini terlalu ringkas, tetapi ia cukup untuk menampakkan perbezaan antara wasiat dan hibah.

2. Kepada Siapa Kita Boleh Berikan Harta Melalui Wasiat Dan Hibah?

Jika melalui wasiat, pemilik harta boleh memberikan harta kepada sesiapa sahaja selain daripada waris mereka sendiri. Itu pun terhad kepada 1/3 dari keseluruhan nilai harta yang dimilikinya.

Sebagai contoh, kita sebagai pemilik harta berwasiat untuk memberikan 10% dari nilai akaun bank dan Tabung Haji kepada sebuah asrama anak yatim dan digunakan untuk pembinaan Maahad Tahfiz.

Jadi jelas, tak boleh pemilik harta berwasiat untuk memberikan hartanya kepada suami atau isteri dan anak-anak.

Manakala jika melalui hibah pula, pemilik harta bebas hendak memberikan hartanya kepada siapa yang dikehendaki, sama ada penerima tersebut adalah dari kalangan warisnya sendiri ataupun tidak.

3. Berapa Kadar Harta Yang Boleh Diwasiatkan Dan Dihibahkan?

Seperti yang telah dinyatakan di atas, kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pemilik harta menurut syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya pada waktu kematiannya. Iaitu setelah ditolak dengan semua harta yang telah digunakan untuk belanja pengebumian dan melangsaikan hutang si mati.

Jika pemilik harta berwasiat melebihi kadar 1/3 hartanya maka wasiat yang lebih dari 1/3 tersebut tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan jumlah berkenaan.

Manakala bagi hibah pula, tiada had tertentu untuk seorang pemilik harta memberikan hartanya. Walaubagaimanapun, jika ibubapa ingin memberi hibah kepada anak-anak, jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa lebih baik menyamakan pemberian hibah kepada mereka, ia lebih adil dan dekat kepada taqwa.

4. Adakah Hibah Dan Wasiat Boleh Ditarik Balik?

Secara ringkas, wasiat boleh ditarik balik selagi si pemilik harta yang membuat wasiat masih hidup. Walau bagaimanapun, wasiat tersebut boleh terbatal dalam beberapa keadaan:

  • Sekiranya pembuat wasiat bankrap
  • Sekiranya pembuat wasiat murtad
  • Sekiranya penerima menolak wasiat
  • Penerima mati sebelum pembuat wasiat
  • Penerima membunuh pembuat wasiat
  • Berlaku kerosakan pada harta wasiat

Manakala bagi hibah pula, secara ringkas ianya tidak boleh ditarik balik melainkan dengan kerelaan si penerima hibah. Sebagai contoh, seorang suami telah memberi hibah sebuah rumah kepada isterinya. Setelah ijab dan qabul berlaku maka tidak boleh si suami menarik balik hibahnya melainkan isteri yang rela hati memberi semula.

Walau bagaimanapun, hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk dan nenek) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain boleh ditarik semula. 

Selasa, September 22

Cara uruskan harta pusaka dengan wasiat


Mari saya tunjukkan cara urus harta pusaka dengan wasiat:

1. Maklumkan kepada pemegang wasiat

Selepas kematian simati, waris hanya perlu maklumkan kepada pemegang wasiat tentang kematian tersebut.

Jika wasiat dipegang oleh individu contohnya peguam, maklumkan kepada beliau.

Jika wasiat dipegang oleh syarikat amanah, maklumkan kepada syarikat tersebut.

Jika wasiat selama ini dijaga sendiri oleh simati, cari wasiat tersebut.

2. Kumpulkan waris dan benefisiari lain untuk pembacaan wasiat

Selepas maklumkan, tetapkan tarikh untuk hari pembacaan wasiat.

Maklumkan kepada waris-waris lain dan juga bukan waris yang disebut di dalam wasiat.

Sebaik-baiknya semua hadir dan dengar wasiat yang ditinggalkan si mati.

3. Wasiat diserahkan kepada wasi

Selepas selesai pembacaan wasiat, wasiat akan diserahkan kepada wasi yang dilantik.

Jika wasi adalah individu, maka akan diserahkan kepada individu tersebut.

Jika wasi adalah syarikat amanah, maka akan diserahkan kepada syarikat tersebut.

Wasi (executor) mempunyai peranan yang penting dalam melaksanakan wasiat, maka perlu dilantik entiti yang berpengetahuan, jujur, amanah dan adil.

Wasi akan mengurus dan mengagihkan harta pusaka mengikut wasiat nanti.

4. Wasi akan mohon Geran Probet daripada Mahkamah Tinggi

Wasi perlu memohon pengesahan wasiat dan Geran Probet daripada Mahkamah Tinggi.

Tarikh perbicaraan akan diberikan.

Asalkan sahaja wasiat memenuhi syarat-syaratnya dan tiada pertikaian, maka mahkamah akan keluarkan Geran Probet kepada wasi.

5. Wasi menjalankan wasiat

Selepas Geran Probet diperoleh, wasi boleh mencairkan harta pusaka yang ditinggalkan simati.

Wasi boleh pergi ke bank, TH, ASB dan KWSP (jika tiada penamaan dibuat) untuk mengeluarkan baki duit yang ditinggalkan.

Wasi boleh ke Pejabat Tanah untuk tukar nama pada geran tanah dan rumah si mati.

Wasi (executor) juga boleh ke JPJ  untuk tukar nama pemilik kenderaan si mati.

Wasi (executor) juga perlu melaksanakan wasiat si mati seperti melangsaikan hutang, mengagihkan kepada bukan waris dan juga kepada waris.

Begitulah secara ringkasnya cara urus harta pusaka dengan wasiat.

Kelebihan urus harta pusaka dengan wasiat

Banyak kelebihan jika dapat urus harta pusaka dengan wasiat.

Antara kelebihannya:

1 - Prosedur lebih ringkas, tempoh lebih singkat, kos lebih murah

Dengan adanya wasiat, akan banyak memudahkan waris.

Selepas sahaja wasiat dibacakan, wasi boleh terus mohon pengesahan wasiat dan Geran Probet daripada mahkamah.

Tak perlu bertangguh-tangguh, tak perlu menunggu masa yang lama.

Tak perlu juga keluarkan kos yang tinggi untuk buat itu ini.

Memang lebih mudah untuk waris.

2 - Lantik wasi pilihan yang diketahui jujur, amanah dan adil

Jika tanpa wasiat, waris-waris perlu lantik seorang pentadbir, sepatutnya yang amanah, jujur, adil dan berpengetahuan.

Malangnya, realitinya tak semudah itu.

Atas dasar hormat, kadang-kadang yang paling tua dilantik sebagai pentadbir walaupun tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.

Akibatnya, berlaku pergaduhan, urusan tidak lancar, penindasan ke atas waris dan sebagainya.

Berbeza dengan wasiat.

Kita boleh piih sendiri siapa yang akan dilantik sebagai wasi.

Jika rasa kurang yakin dengan sesiapa, boleh terus lantik syarikat amanah sebagai wasi.

Tak perlu risau dah.

3 - Lantik penjaga harta bagi anak-anak bawah umur dan OKU

Jika seorang suami mati, isteri tidak automatik akan dilantik sebagai penjaga harta bagi anak-anak bawah umur dan OKU.

Sebaliknya, mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, yang akan dilantik adalah datuk sebelah suami, wasi kepada wasiat bapa, wasi kepada wasi bapa atau wasi kepada datuk.

Jika mereka tiada atau tak berkeupayaan pun, harta akan dijaga oleh Amanah Raya Berhad.

Akibatnya, jika isteri nak gunakan harta anak untuk kegunaan anak, terpaksalah minta dengan penjaga harta tersebut.

Sebab itulah perlu buat wasiat.

Melalui wasiat, suami boleh lantik isteri atau sesiapa sahaja sebagai penjaga harta anak-anak bawah umur dan OKU.

4 - Dapat senaraikan hutang-hutang

Apabila seseorang mati, hutang masih tetap perlu diselesaikan.

Mengikut hukum, waris tidak wajib menyelesaikan hutang si mati kerana hutang tetap ke atas si mati.

Tetapi, atas dasar tanggungjawab, waris biasanya akan cuba untuk selesaikan.

Jika tiada wasiat, bagaimana waris nak tahu hutang-hutang yang dibuat simati?

Susah, bukan?

Kalau ada wasiat, si mati boleh senaraikan semua hutang yang masih berbaki.

Boleh maklumkan cara untuk selesaikan hutang-hutang tersebut, sama ada guna takaful atau harta yang ditinggalkan.

Mudah waris untuk tolong selesaikan hutang-hutang yang ada.

5 - Agihan harta kepada bukan waris

Anak angkat, anak tiri, waris terhalang, waris seperti cucu, mereka semua ini adalah bukan waris.

Tiada hak faraid, tiada hak ke atas harta pusaka.

Jika tiada wasiat, memang tiada bahagian untuk mereka.

Melalui wasiat, sebahagian harta boleh diagihkan kepada mereka.

6 - Sedekah dan waqaf supaya pahala berpanjangan

Melalui wasiat, kita boleh asingkan sebahagian harta untuk tujuan sedekah dan wakaf.

Boleh berikan kepada mana-mana individu.

Boleh juga diberikan kepada mana-mana institusi seperti masjid, sekolah tahfiz atau rumah anak yatim.

Ini akan memastikan pahala berpanjangan untuk kita walaupun setelah mati.

Kalau tiada wasiat, semua harta hanya dibahagikan sesama waris.

Tiada yang dikhaskan untuk sedekah dan wakaf.

7 -  Hasrat agihan harta kepada waris

Melalui wasiat, kita boleh sampaikan hasrat bagaimana agihan harta kepada waris-waris.

Boleh buat secara faraid, sama rata atau mengalah.

Boleh hasratkan beri rumah kepada waris 1, tanah kepada waris 2.

Boleh nyatakan hasrat, pelaksanaannya tetap tertakluk kepada persetujuan waris-waris.

Tetapi, kalau kita buat perancangan dengan baik dan adil, insyaAllah semua waris akan menghormati hasrat kita.

Keharmonian sesama waris pun terpelihara.

Kalau tiada wasiat, waris-waris mungkin berebut-rebut.

8 - Sampaikan hasrat terakhir

Dalam wasiat, kita boleh sampaikan pesanan terakhir kepada waris-waris.

Boleh berikan nasihat, doa dan harapan.

Inilah kali terakhir kita memberikan pesanan kepada mereka.

Mungkin pesanan terakhir ini akan memberikan kesan paling mendalam kepada waris-waris.