Selasa, November 24

Perbezaan Antara Wasiat dan Hibah

Masih ramai lagi yang terkeliru definisi, fungsi dan kaedah pelaksanaan wasiat dan hibah. Rata-rata melihat kedua-duanyanya sama sahaja, iaitu penukaran pemilikan harta selepas pemilik harta meninggal dunia.

1. Apakah Maksud Sebenar Wasiat Dan Hibah?

Definisi yang lebih padat dan mudah tentang wasiat dan hibah adalah seperti berikut:

Wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat manakala hibah pula ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah.

Walaupun sebenarnya definisi yang diberikan ini terlalu ringkas, tetapi ia cukup untuk menampakkan perbezaan antara wasiat dan hibah.

2. Kepada Siapa Kita Boleh Berikan Harta Melalui Wasiat Dan Hibah?

Jika melalui wasiat, pemilik harta boleh memberikan harta kepada sesiapa sahaja selain daripada waris mereka sendiri. Itu pun terhad kepada 1/3 dari keseluruhan nilai harta yang dimilikinya.

Sebagai contoh, kita sebagai pemilik harta berwasiat untuk memberikan 10% dari nilai akaun bank dan Tabung Haji kepada sebuah asrama anak yatim dan digunakan untuk pembinaan Maahad Tahfiz.

Jadi jelas, tak boleh pemilik harta berwasiat untuk memberikan hartanya kepada suami atau isteri dan anak-anak.

Manakala jika melalui hibah pula, pemilik harta bebas hendak memberikan hartanya kepada siapa yang dikehendaki, sama ada penerima tersebut adalah dari kalangan warisnya sendiri ataupun tidak.

3. Berapa Kadar Harta Yang Boleh Diwasiatkan Dan Dihibahkan?

Seperti yang telah dinyatakan di atas, kadar harta yang boleh diwasiatkan oleh pemilik harta menurut syarak adalah setakat 1/3 sahaja daripada harta bersih peninggalannya pada waktu kematiannya. Iaitu setelah ditolak dengan semua harta yang telah digunakan untuk belanja pengebumian dan melangsaikan hutang si mati.

Jika pemilik harta berwasiat melebihi kadar 1/3 hartanya maka wasiat yang lebih dari 1/3 tersebut tidak sah kecuali waris-waris bersetuju dengan jumlah berkenaan.

Manakala bagi hibah pula, tiada had tertentu untuk seorang pemilik harta memberikan hartanya. Walaubagaimanapun, jika ibubapa ingin memberi hibah kepada anak-anak, jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa lebih baik menyamakan pemberian hibah kepada mereka, ia lebih adil dan dekat kepada taqwa.

4. Adakah Hibah Dan Wasiat Boleh Ditarik Balik?

Secara ringkas, wasiat boleh ditarik balik selagi si pemilik harta yang membuat wasiat masih hidup. Walau bagaimanapun, wasiat tersebut boleh terbatal dalam beberapa keadaan:

  • Sekiranya pembuat wasiat bankrap
  • Sekiranya pembuat wasiat murtad
  • Sekiranya penerima menolak wasiat
  • Penerima mati sebelum pembuat wasiat
  • Penerima membunuh pembuat wasiat
  • Berlaku kerosakan pada harta wasiat

Manakala bagi hibah pula, secara ringkas ianya tidak boleh ditarik balik melainkan dengan kerelaan si penerima hibah. Sebagai contoh, seorang suami telah memberi hibah sebuah rumah kepada isterinya. Setelah ijab dan qabul berlaku maka tidak boleh si suami menarik balik hibahnya melainkan isteri yang rela hati memberi semula.

Walau bagaimanapun, hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk dan nenek) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain boleh ditarik semula. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan