Buat pengetahuan kita semua, strata bermaksud satu pembangunan tanah yang dibahagikan kepada lot individu yang kemudian dikongsi bersama dengan pemilik unit lain, dan mereka berkongsi utiliti / fasiliti yang disediakan oleh pemaju harta tanah.
Oleh kerana pemilik unit harta tanah strata berkongsi utiliti / fasiliti yang sama dengan pemilik lain, mereka dikehendaki membayar maintenance fee dan sinking fund.
Tetapi, maintenance fee dan sinking fund adalah dua perkara yang berbeza. Maintenance fee adalah yuran penyelenggaraan ke atas utiliti / fasiliti yang disediakan dan sinking fund adalah satu dana untuk penambah baikan harta tanah tersebut.
Sinking fund boleh dinisbahkan sebagai satu bentuk dana atau simpanan untuk perbelanjaan pembaikan harta tanah dalam skala besar.
Di antara pembaikan harta tanah yang akan menggunakan dana dari sinking fund adalah penggantian pam atau tangki air utama, sistem pengesan kebakaran, sistem sekuriti, penukaran lif baharu dan proses mengecat semula harta tanah high-rise.
Bayangkan sekiranya sinking fund ini tidak wujud, segala perbelanjaan skala besar tersebut sukar dilaksanakan dan kesannya harta tanah tersebut akan menjadi kurang popular dan lambat laun sepi tanpa penghuni.
Pihak yang bertanggungjawab mengurus selia dana tersebut adalah Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Council (MC) harta tanah.
Kedua-dua JMB dan MC ini merupakan badan berkanun yang dibentuk di bawah Akta 663 (yang kini telah dimansuhkan dan diganti dengan Akta 757) dalam mengambil alih pengurusan dan penyelenggaraan bangunan strata.
Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Council (MC) wajib mengadakan perjumpaan umum tahunan di antara pemilik strata akan pengurusan kewangan sinking fund tersebut.
Dalam perjumpaan tahunan ini juga, pihak JMB dan MC akan membentangkan usul penggunaan dana sinking fund tadi sama ada untuk penambah baikan utiliti dan sebagainya.
Sebenarnya, pengurusan JMB dan MC tidak boleh sewenang–wenangnya menggunakan dana tersebut dan terdapat sekatan terhadap sinking fund ini.
Penggunaan dana sinking fund ini hanya boleh digunakan untuk:
1. Mengecat harta tanah
2. Pembelian aset lain untuk kegunaan harta tanah.
3. Menggantikan kelengkapan sedia ada dalam harta tanah
4. Naik taraf / baik pulih harta tanah (sekiranya rosak)
5. Perbelanjaan yang berkenaan dengan harta tanah
Kadar sinking fund adalah 10% daripada kos yuran perkhidmatan dan jenis harta tanah sama ada kediaman dan komersial memainkan peranan dalam jumlah bayaran sinking fund yang akan dibayar.
Namun begitu, ada juga JMB dan MC sesetengah harta tanah strata yang mengusulkan bayaran sinking fund sebanyak 15% hingga 30% daripada kos yuran perkhidmatan selepas membuat anggaran kos berkala bagi komponen bangunan, cat dan pemasangan lain.
Memandangkan sinking fund merupakan satu dana berkelompok, pemegang amanah wajib memberikan pemilik harta tanah strata dokumen yang lengkap akan laporan kewangan tahunan sinking fund.
Anda sebagai pemilik harta tanah strata juga berhak bersuara sekiranya anda tidak bersetuju dengan pengguanaan dana sinking fund tersebut dengan syarat anda wajib menghadiri perjumpaan umum tahunan yang diadakan Management Council (MC).
Hari ini, terlalu banyak kes pecah amanah berlaku melibatkan dana sinking fund oleh pihak MC. Untuk pengetahuan anda, sebarang salah laku pihak pengurusan JMB dan MC kini boleh dibicarakan oleh Tribunal Pengurusan Strata di bawah Akta Pengurusan Strata 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan