Sabtu, November 21

Masyarakat Tidak Tahu Kos Sebenar Menguruskan Pusaka

Tidak ramai yang tahu sebenarnya terdapat kos yang perlu dikeluarkan oleh waris yang ingin menguruskan pusaka si mati, sama ada si mati tersebut adalah ibu bapa, suami/isteri atau adik beradiknya. Kebanyakannya menyangka urusan pusaka ini mudah kerana telah ada hukum faraid.

Secara ringkasnya, sebelum proses pengagihan harta, waris yang mentadbir harta si mati perlu menggunakan harta si mati untuk tujuan ini dahulu;

  1. Membayar kos urusan jenazah si mati seperti kos pengkebumian.
  2. Membayar segala hutang piutang si mati seperti badal haji, hutang rumah dan lain-lain.
  3. Menolak bahagian harta sepencarian pasangan (jika ada)
  4. Melaksanakan wasiat yang telah ditinggalkan si mati.
  5. Mengagihkan harta pusaka mengikut aturan faraid.

Proses pengagihan harta adalah fasa yang terakhir dalam bab mengurus pusaka!

Proses ini jika tak kena caranya akan mengambil masa yang sangat lama.

Kos Urus Pusaka

Fokus penulisan kali ini adalah lebih kepada perihal kos yang perlu dikeluarkan untuk menguruskan harta pusaka orang mati. Kos ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kos langsung dan kos tidak langsung.

Kos langsung adalah seperti fi carian rasmi di pejabat tanah, kos perundangan dan caj khidmat guaman. Manakala kos tidak langsung pula adalah seperti kos perjalanan dan kos masa.

Jom kita tengok satu contoh:

Si mati meninggalkan dua buah rumah, satu di Bangi dan satu lagi di Labu serta sebidang tanah di Sik. Proses pertama yang waris perlu lakukan untuk mengurus harta pusaka si mati ini adalah dengan pergi ke pejabat tanah di mana rumah dan tanah tersebut terletak.

Dalam kes ini, ada tiga pejabat tanah yang perlu waris pergi untuk mendapatkan carian rasmi bagi harta tanah si mati.

Carian rasmi adalah salah satu dokumen yang perlu dilampirkan sekali semasa proses tuntutan pusaka di buat. Jadi waris terpaksa keluarkan kos perjalanan dan mengambil cuti pula (sekiranya bekerja) untuk mendapatkan carian rasmi harta tanah tersebut.

Seterusnya waris juga perlu menyediakan wang untuk membayar fi bagi carian rasmi di pejabat tanah. Fi di pejabat tanah pula berbeza-beza.

Bayangkan jika si mati meninggalkan lebih banyak harta di daerah yang jauh, jenuh pula waris nak pergi setiap pejabat tanah. Ini kerana urusan untuk mendapatkan carian rasmi tidak boleh dibuat atas talian, waris perlu hadir sendiri ke pejabat tanah yang berkaitan.

Jika tidak mahu buat semua ini sendiri, waris boleh saja melantik pihak ketiga seperti syarikat amanah atau peguam untuk membuatkan urusan ini, tetapi sekali lagi ada kos yang perlu dibayar kepada mereka.

Mengikut Seksyen 43 Akta Probet, fi yang boleh dikenakan oleh mana-mana pihak yang menguruskan pusaka bagi pihak waris, maksimum sebanyak 5% dari keseluruhan nilah harta si mati. Pun begitu, tidak semua syarikat yang menguruskan harta pusaka mengenakan fi maksimum 5%, ada yang hanya kenakan sebanyak 1% dan 2% sahaja.

Kos mengurus harta pusaka jadi semakin tinggi apabila nilai keseluruhan pusaka si mati melebihi RM2 juta. Ini kerana kes urus harta pusaka ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil. Lebih banyak kos-kos yang perlu dikeluarkan waris.

Begitu juga dengan masalah yang timbul apabila si mati meninggalkan harta berbentuk harta tanah yang banyak, tetapi tidak meninggalkan harta berbentuk aset cair seperti wang tunai dari akaun Tabung Haji, KWSP dan pampasan takaful. Di mana waris nak cari duit untuk uruskan harta pusaka si mati?

Sepatutnya kos-kos ini ditangggung oleh semua waris yang berhak terima pusaka mengikut faraid. Tetapi hakikat yang sering terjadi adalah, waris yang secara sukarela menguruskan pusaka inilah yang terpaksa keluarkan duit sendiri semuanya.

Oleh itu menjadi tanggungjawab kita sebagai pemilik harta untuk menyediakan dana secukupnya untuk waris uruskan pusaka selepas kematian kita.

“Aku dah susah payah cari harta, biar anak-anak pula fikir macam mana nak uruskan lepas aku mati. Takkan aku juga kena fikirkan.”

Elakkanlah dari berfikir cara yang salah seperti ini kerana akhirnya kita yang rugi apabila harta yang kita miliki tidak dapat memberi manfaat kepada waris dan diri kita sendiri (dalam bentuk saham akhirat).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan