Selasa, April 6

Adakah Hadiah atau Taruhan Loteri tidak dikenakan cukai?


Layanan cukai terhadap pendapatan daripada aktiviti pertaruhan adalah bergantung kepada sifat pertaruhan itu sendiri.

Sekiranya pertaruhan tersebut lebih bersifat pasif seperti dilakukan sekali-sekala dan tidak terancang atau bersistematik, maka keuntungan hasil daripada pertaruhan adalah tidak dikenakan cukai pendapatan.

Bagi pihak yang menjalankan aktiviti pertaruhan secara aktif, bersistematik dan berulang-ulang di mana wujudnya corak perdagangan (badges of trade), maka pihak tersebut dianggap telah menjalankan suatu urusniaga atau profesyen dan keuntungan yang dijana daripada urusniaga tersebut adalah dikenakan cukai pendapatan.

Bagaimana penentuan layanan cukai terhadap pendapatan hasil dari kemenangan pertaruhan ini?

Penentuan layanan cukai terhadap hadiah kemenangan loteri atau aktiviti pertaruhan adalah bergantung kepada fakta kes masing-masing.

Kegiatan pertaruhan atau perjudian boleh menjadi satu profesyen dan boleh dikenakan cukai walaupun pada awalnya ia dijalankan sebagai hobi sahaja.

Apakah kes undang-undang yang boleh dirujuk?

Patridge lwn. Mallandaine, (Surveyor of Taxes). (1883-1890) 2 TC 179

Hakim Court of Justice memutuskan bahawa seseorang yang menghadiri perlumbaan kuda dan membuat pertaruhan secara sistematik adalah dikenakan cukai atas keuntungan yang diterima dari pertaruhan tersebut.

Graham lwn. Green (H.M. Inspector of Taxes)

Hakim memutuskan bahawa hadiah pertaruhan tidak dikenakan cukai kerana ianya merupakan hobi pembayar cukai.

Hawes V. Gardiner (H.M Inspector of taxes) (37 T.C 671)

High Court of Justice telah menolak rayuan Perayu dengan alasan bahawa terdapat bukti berlaku urusan bercorak perdagangan yang membolehkan beliau dikenakan cukai.

Ketiga-tiga kes mempunyai keputusan penghakiman yang berbeza memandangkan semuanya mempunyai fakta kes yang berlainan.

Bila dan bagaimana saya perlu isytihar cukai yang diterima dari hasil pendapatan kemenangan loteri?

Anda perlu mengemukakan Borang B (individu yang menjalankan perniagaan) sebelum atau pada 30 Jun setiap tahun.

Semua perbelanjaan yang berkaitan dengan urusniaga pertaruhan boleh diambil kira sebagai tolakan ketika mengira keuntungan bersih daripada urusniaga pertaruhan tersebut.

Perbelanjaan yang dimaksudkan adalah perbelanjaan yang dilakukan secara keseluruhan dan eksklusifnya ditanggung dalam menghasilkan pendapatan.

Ini termasuklah harga tiket loteri/pertaruhan, yuran khidmat nasihat konsultan pertaruhan, cukai perkhidmatan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang dibenarkan sebagai tolakan dibawah subseksyen 33(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai kos langsung dalam aktiviti pertaruhan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan