Isnin, Mei 31

Sejarah Toyota Yang Bermula Dari Syarikat Pembuat Mesin Penenun Kain


Jenama Toyota ini dikenali di seluruh dunia sebagai kenderaan yang lasak dan mudah dibaiki berbanding dengan pesaingnya yang lain disebabkan bilangan penggunanya yang ramai. Tapi tahukah anda asal-usul Toyota ini?

Bagaimana Toyota Bermula?

Toyota diasaskan oleh Sakichi Toyoda yang merupakan seorang industrialist. Syarikat ini pada mulanya menghasilkan mesin untuk tenunan kain yang dikenali sebagai Toyoda Automatic Loom Works.

Syarikat ini mula berkembang pesat selepas perang dunia pertama akibat permintaan yang tinggi di dalam industri pakaian. Pada tahun 1933, anak kepada pengasas syarikat ini iaitu Toyoda Kiichiro, telah menjadikan syarikat ini sebuah syarikat kenderaan yang mana pada ketika itu, permintaan kenderaan penumpang adalah tinggi di sana.

Beliau kemudiannya telah menamakan syarikat kenderaan ini sebagai Toyota.

Mereka mengkaji kenderaan dari negara barat seperti General Motors, Ford Motors dan Chrysler bagi menghasilkan kenderaan pertama mereka yang dikenali sebagai Toyota Model AA.

Ketika perang dunia kedua berlaku, syarikat ini beralih kepada pembuatan trak untuk digunakan di dalam peperangan. Selepas Jepun tewas di dalam perang dunia kedua, syarikat ini kembali dalam menghasilkan kenderaan penumpang untuk pasaran domestik.

Teknik Pengilangan Yang Unik

Pada era 1950-an, executive dari Toyota melawat kilang penghasilan kenderaan di Michigan untuk melihat bagaimana syarikat automotif dari Amerika Syarikat menghasilkan kenderaan dengan kuantiti yang sangat banyak.

Taiichi Ohno yang merupakan seorang jurutera hebat, adalah orang yang mengetuai lawatan itu bagi pihak Toyota. Beliau yang begitu kagum dengan teknik cara mereka tetapi dalam pemerhatiannya, banyak kelemahan yang ada dalam teknik tersebut walaupun ianya dapat menghasilkan pengeluaran dalam skala yang besar.

Pada era tersebut, teknik pembuatan tersebut tidak boleh digunapakai kerana Jepun tidak mempunyai banyak bahan mentah seperti Amerika Syarikat.

Oleh yang demikian, mereka telah membangunkan satu teknik penghasilan kenderaan yang dikenali sebagai lean manufacturing di mana konsep penghasilan kenderaan hanya dilakukan apabila terdapat permintaan sahaja.

Semua bahagian kenderaan di dalam kilang juga dibuat berdasarkan permintaan kenderan yang perlu disiapkan.

Dengan mengaplikasi teknik ini, penjimatan tenaga buruh dan bahan mentah adalah sangat ketara dan ianya membolehkan Toyota mampu menghasilkan kenderaan dengan lebih banyak tanpa perlu menyimpan stok kenderaan yang tidak terjual.

Mula Menakluk Amerika Syarikat

Di era 1970-an ketika krisis harga minyak meruncing, kenderaan buatan Jepun mula mendapat tempat di kalangan penduduk Amerika Syarikat.

Ini disebabkan oleh kapasiti enjin yang dihasilkan oleh kenderaan Jepun adalah lebih kecil berbanding dengan kenderaan buatan Amerika Syarikat yang menggunakan petrol yang banyak. Kenderaan buatan Toyota turut terkena tempias daripada peristiwa ini.

Dan kalau nak tahu, Toyota menjadi syarikat Jepun pertama yang berjaya mencapai jualan satu juta unit kenderaan di Amerika Syarikat.

Dari setahun ke setahun, kenderaan keluaran Toyota mendapat kepercayaan pengguna di sana disebabkan ketahanan enjin yang dimilikinya.

Toyota juga turut memperkenalkan model mewah mereka yang dikenali sebagai Lexus untuk bersaing dengan kenderaan mewah dari Eropah terutamanya dari Jerman.

Penerimaan kenderaan Lexus semakin mendapat tempat di Amerika Syarikat disebabkan keseronokan pengalaman pemanduan serta ketahanan enjin yang luar biasa.

Pada tahun 2008, Toyota secara rasminya telah mengambil tahkta yang dipegang oleh General Motors sebagai syarikat pengeluar kenderaan utama dunia.

Kini mereka bersaing dengan Volkswagen di dalam pengeluaran kenderaan. Kedua-dua syarikat ini telah meghasilkan sebanyak 10 juta unit kenderaan pada tahun 2020, satu angka yang sangat tinggi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan