Isnin, Jun 14

Penipuan Macau Scam Menggunakan Nama LHDN


Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.

Menurut maklumat yang dikongsikan kepada LHDN oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM), bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 27 Mei 2021, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN telah disiasat.

Modus operandi yang digunakan oleh suspek atau scammer ialah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDN. Scammer seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.

Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.

Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP.

Mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan lakukanlah pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan  menghubungi  talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi http://www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.

Di samping itu, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDN atau klik capaian pantas berikut:

http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1

Adalah ditegaskan bahawa LHDN tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan