Sabtu, Ogos 21

Apa Itu Syarikat Perkongsian Liabiti Terhad (LLP)?


Pasti anda pernah mendengar jenis syarikat LLP bukan? LLP merupakan jenis perniagaan alternatif yang telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan ia telah menggabungkan ciri-ciri yang ada pada syarikat sendirian berhad dan perniagaan syarikat melalui perkongsian yang sedia ada.

Masih ramai lagi yang keliru mengenai perbezaan entiti perniagaan baru ini dengan perniagaan yang lain. Untuk faham dengan lebih jelas apa itu syarikat LLP, jom baca maklumat di bawah.

Apa Itu Syarikat LLP?

Syarikat LLP ataupun Perkongsian Liabiti Terhad dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad tahun 2012. Struktur perniagaan LLP ini telah direka khas untuk semua perniagaan yang sah di sisi undang-undang bagi menghasilkan keuntungan.

Ia amat sesuai untuk semua jenis perniagaan yang ingin menikmati ciri-ciri kelebihan yang ada pada sesebuah syarikat.

Pembentukan LLP

LLP hanya ditubuhkan berdasarkan tujuan perniagaan dan bukan untuk tujuan amal. Ia boleh dibentuk oleh golongan profesional seperti Akauntan Berkanun, Peguam dan Setiausaha Syarikat untuk tujuan menjalankan perniagaan profesional mereka.

Konsep yang telah diterapkan juga dapat menyokong perniagaan baru untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu memikirkan mengenai tanggungjawab dan aset peribadi serta syarat pematuhan yang ketat.

Ciri-Ciri Utama LLP

Syarikat LLP memberikan perlindungan kepada rakan kongsi yang dinikmati oleh pemegang saham sesebuah syarikat dengan liabiliti yang terhad.

Sebarang hutang LLP akan ditanggung dan dibayar daripada harta LLP dan bukannya daripada harta rakan kongsi.

LLP juga dapat membuat peraturan perniagaan dalaman sebagai hasil perbincangan dan perjanjian di antara rakan kongsi seperti dalam perkongsian konvensional dan tidak ada syarat wajib untuk perjanjian perkongsian tersebut.

Ia juga menawarkan fleksibiliti daripada segi penubuhan, penyelenggaraan dan penamatan sesebuah syarikat.

Mempunyai ciri dan tarikan yang dinamik untuk bersaing di dalam dan luar negara.

Sekarang dah faham kelebihan LLP seperti di atas?

Daripada segi kekurangannya pula, LLP tidak sesuai bagi mereka yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Ianya disebabkan kadar cukai yang dikenakan agak tinggi.

Selain daripada itu, bagi perniagaan yang tidak memiliki rakan kongsi juga tidak sesuai untuk memilih LLP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan