Anda pasti pernah melihat kelihat pihak-pihak tertentu yang membuka booth jualan rumah di pasaraya bukan? Mereka menawarkan harga rumah mampu milik.
Model rumah yang dipamerkan juga kelihatan menarik. Rasa macam nak beli.
Tunggu, jangan buat keputusan terburu-buru. Buat 9 checklist seperti di bawah bagi memastikan anda tidak terjerat dalam skim penipuan pemaju rumah.
1. Lesen, Permit Iklan Dan Jualan
Syarikat pemaju wajib memaparkan nombor lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dan jualan dalam setiap iklan. Jadi anda boleh menyemak dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memastikan status lesen dan permit tersebut.
Kalau syarikat perumahan tersebut tidak memaparkan nombor lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dalam iklan mereka, ini bermakna ada yang tidak kena.
Jadi batalkan niat anda untuk berurusan dengan mereka.
2. Semak Dan Kenal Pasti Lokasi Projek
Jika projek perumahan tersebut adalah sah, anda boleh kenalpasti di mana projek perumahan tersebut dibina. Kemudian minta untuk lihat salinan geran individu projek tersebut daripada pemaju atau buat semakan terus dengan bahagian perancang majlis daerah atau majlis perbandaran.
Ini bagi memastikan bahawa projek tersebut memang ada dan ianya telah mempunyai kelulusan untuk dibangunkan.
3. Harga Yang Seragam
Projek perumahan yang sah tidak akan menawarkan harga rumah yang berbeza-beza di antara seorang pembeli dengan pembeli yang lain.
Selalunya pemaju akan menetapkan harga jualan yang seragam seperti yang diluluskan oleh pihak KPKT.
4. Tidak Dikenakan Syarat Yang Tidak Munasabah
Jaga-jaga dengan pemaju yang mengenakan syarat-syarat pelik untuk membeli rumah seperti wajib mejadi ahli kelab, ahli koperasi atau apa sahaja yang tidak berkaitan dengan rumah yang ingin anda miliki.
Pemaju yang sah tidak akan mengenakan syarat-syarat yang tidak ada kaitan dengan rumah tersebut.
5. Tidak Meminta Bayaran Booking Dengan Tergesa-Gesa
Bagi anda yang belum mempunyai pengalaman membeli rumah, pihak pemaju tidak akan meminta pembeli untuk membuat bayaran booking secara on the spot atau tergesa-gesa.
Biasanya pembeli akan diberikan satu tempoh yang munasabah untuk menjelaskan bayaran deposit tersebut. Dan bayaran tersebut pula hanya perlu dibuat setelah perjanjian jual beli yang sah ditandatangani di antara pemaju dan pembeli.
6. Urusan Pembiayaan Rumah Mesti Di Bawah Skim Yang Sah
Pemaju yang sah akan menguruskan pembiayaan perumahan di bawah skim pembiayaan perumahan yang ditawarkan oleh pihak bank atau Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi pekerja kerajaan.
Mereka tidak akan meminta anda untuk membuat pembiayaan peribadi dengan mana-mana bank, koperasi atau individu.
7. Bayaran Berkala Mengikut Proses Pembinaan
Bayaran jual beli rumah pula akan dilakukan secara berperingkat mengikut progres pembinaan rumah tersebut. Itu pun setelah diluluskan oleh arkitek.
Pemaju yang ingin mengambil kesempatan pula akan meminta pembeli untuk melunaskan bayaran jual beli secara sekaligus atau berperingkat mengikut keperluan mereka semata-mata.
8. Pemaju Berpengalaman Dan Mempunyai Rekod Bersih
Semak pengalaman serta rekod pemaju projek perumahan tersebiut. Anda boleh melakukan semakan dengan pihak KPKT bagi melihat pengalaman serta track record projek-projek terdahulu yang pernah mereka bangunkan.
9. Promosi Sederhana Dan Tidak Keterlaluan
Berhati-hatilah sekiranya pemaju tersebut membuat promosi atau tawaran yang keterlaluan untuk menarik minat pembeli. Kita semua sedia maklum bahawa projek perumahan memerlukan perbelanjaan yang besar untuk disiapkan.
Sekiranya tawaran atau promosi yang mereka berikan itu terlalu luar biasa sehingga sukar untuk dipercayai, mungkin ada benda yang tak kena.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan