Ramai yang kata kad kredit tidak baik untuk kewangan peribadi. Ianya disebabkan oleh kad kredit mempunyai kadar faedah yang sangat tinggi.
Namun ramai yang tidak sedar ada beberapa kebaikan penggunaan kad kredit sekiranya diuruskan dengan baik. Berikut ialah 7 fakta berkenaan kad kredit dan cara penggunaan yang betul.
1. Kemudahan Pembayaran
Kad kredit merupakan fasiliti yang ditawarkan pihak bank sebagai kemudahan pembayaran kepada pemegang kad. Kad kredit bukanlah sejenis pembiayaan atau pinjaman dari bank walaupun menpunyai fungsi pendahuluan tunai.
Kita sebagai pemegang kad kredit sepatutnya membuat bayaran penuh baki hutang mengikut kitaran bil kad kredit dalam tempoh yang ditetapkan.
Sekiranya anda memerlukan pinjaman, lebih baik anda memohon untuk pinjaman peribadi. Ini adalah kerana kadar faedah yang dikenakan lebih rendah berbanding kadar faedah keatas baki hutang tertunggak kad kredit.
2. Pelan Ansuran Tanpa Faedah
Kad kredit juga membolehkan syarikat atau penjual untuk menawarkan pelan pembayaran ansuran tanpa faedah. Pembayaran ansuran ini akan dikenakan ke atas kad kredit pemegang kad secara bulanan. Kita berhutang dengan bank dan perlu dibayar secara ansuran.
Ini bermakna pemegang kad kredit boleh membuat bayaran ansuran secara bulanan tanpa faedah, sekiranya dibayar sepenuhnya mengikut kitaran bil dan tarikh akhir bayaran yang ditetapkan.
Sekiranya bayaran bulanan telah dikenakan keatas kad kredit namun tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, kadar faedah akan dikenakan berdasarkan baki hutang kad kredit.
3. Skor Kredit
Kad kredit boleh digunakan untuk tujuan menghasilkan rekod kewangan atau skor kredit yang baik. Sekiranya kita menggunakan kad kredit pada kadar yang bersesuaian dengan pendapatan dan membayar keseluruhan baki hutang setiap bulan, ini menunjukkan kita mempunyai habit kewangan yang baik.
Rekod kewangan kad kredit akan muncul dalam rekod CCRIS dan CTOS sebagai rekod yang baik sekiranya kita membuat pembayaran minimum setiap bulan. Namun lebih baik sekiranya semua baki hutang dibayar sepenuhnya setiap bulan untuk mengelakkan kadar faedah yang tinggi.
Bank lebih sukar meluluskan permohonan pinjaman kita sekiranya tiada rekod kewangan melalui CCRIS dan CTOS. Ini kerana bank tidak tahu samada kita pembayar hutang yang baik atau tidak.
4. Mata Ganjaran Dan Cashback
Sebahagian kad kredit hadir dengan tawaran mata ganjaran dan cashback. Kita boleh mengumpul mata ganjaran dengan setiap penggunaan kad kredit dan boleh ditebus dengan hadiah-hadiah yang menarik.
Selain daripada itu, terdapat juga kad kredit petrol yang menawarkan mata ganjaran, cashback dan diskaun petrol dari stesen minyak yang terpilih. Contohnya seperti kad kredit Maybank Petronas dan Public Petron. Kad kredit ini dapat menjimatkan perbelanjaan pemegang kad.
5. Yuran Tahunan
Yuran tahunan akan dikenakan kepada pemegang kad bergantung kepada jenis kad yang dipegang. Perlu diingat setiap bank ada tawarkan kad yang berbeza-beza. Setiap kad mempunyai jumlah yuran tahunan yang berbeza.
Ada kad kredit yang tiada yuran tahunan, ada juga yang memansuhkan yuran tahunan sekiranya melakukan banyak transaksi dalam setahun.
6. Kadar Faedah Hutang
Setiap bulan bank akan keluarkan bil penyata kad kredit yang memaparkan ringkasan transaksi dalam sebulan. Baki hutang akhir bulan beserta bayaran minimum yang perlu dijelaskan akan disertakan sekali.
Kebiasaannya bank akan memberi kelonggaran masa selama lebih kurang 20 hari untuk kita membuat bayaran. Sekiranya kita memilih untuk membuat bayaran untuk keseluruhan baki hutang, tiada caj kadar faedah akan dikenakan kerana baki hutang akan menjadi kosong setiap bulan.
Namun begitu, sekiranya kita memilih untuk membuat bayaran minimum sahaja, baki hutang akan dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi sekitar 13-18%!
7. Kitaran Bil Kad Kredit
Kitaran bil kad kredit tidak semestinya pada penghujung bulan. Kitaran bil boleh bermula dan berakhir pada awal bulan. Sentiasa pastikan kitaran bil kad kredit untuk mengelakkan kita terlepas tarikh akhir bayaran kad kredit.
Setelah bil penyata kad kredit dikeluarkan, kita menpunyai masa sehingga 20 hari untuk membuat pembayaran. Pastikan kita membuat pembayaran tepat pada masa untuk mengelakkan caj lambat bayar dan juga kemungkinan rekod kewangan yang buruk.
Kesimpulan
Kad kredit mempunyai banyak kelebihan. Namun begitu ia perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak terlebih belanja yang akan mengakibatkan kewangan anda terjejas.
Ada beberapa tips penggunaan yang boleh kita amalkan. Jangan berbelanja melebihi kemampuan sendiri dan pastikan anda membayar keseluruhan baki hutang setiap bulan.
Bayar baki hutang kad kredit sejurus selepas bil penyata dikeluarkan. Gunakan kad kredit untuk pembayaran petrol dan barangan runcit untuk mendapat cash back dan mata ganjaran.
Kenalpasti kedai yang menawarkan pelan ansuran tanpa faedah seperti kedai perabot dan telefon pintar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan