Memaparkan catatan dengan label cash back. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cash back. Papar semua catatan

Isnin, Oktober 12

Cara Menggunakan Kad Kredit dengan Betul


Ramai yang kata kad kredit tidak baik untuk kewangan peribadi. Ianya disebabkan oleh kad kredit mempunyai kadar faedah yang sangat tinggi.

Namun ramai yang tidak sedar ada beberapa kebaikan penggunaan kad kredit sekiranya diuruskan dengan baik. Berikut ialah 7 fakta berkenaan kad kredit dan cara penggunaan yang betul.

1. Kemudahan Pembayaran

Kad kredit merupakan fasiliti yang ditawarkan pihak bank sebagai kemudahan pembayaran kepada pemegang kad. Kad kredit bukanlah sejenis pembiayaan atau pinjaman dari bank walaupun menpunyai fungsi pendahuluan tunai.

Kita sebagai pemegang kad kredit sepatutnya membuat bayaran penuh baki hutang mengikut kitaran bil kad kredit dalam tempoh yang ditetapkan.

Sekiranya anda memerlukan pinjaman, lebih baik anda memohon untuk pinjaman peribadi. Ini adalah kerana kadar faedah yang dikenakan lebih rendah berbanding kadar faedah keatas baki hutang tertunggak kad kredit.

2. Pelan Ansuran Tanpa Faedah

Kad kredit juga membolehkan syarikat atau penjual untuk menawarkan pelan pembayaran ansuran tanpa faedah. Pembayaran ansuran ini akan dikenakan ke atas kad kredit pemegang kad secara bulanan. Kita berhutang dengan bank dan perlu dibayar secara ansuran.

Ini bermakna pemegang kad kredit boleh membuat bayaran ansuran secara bulanan tanpa faedah, sekiranya dibayar sepenuhnya mengikut kitaran bil dan tarikh akhir bayaran yang ditetapkan.

Sekiranya bayaran bulanan telah dikenakan keatas kad kredit namun tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, kadar faedah akan dikenakan berdasarkan baki hutang kad kredit.

3. Skor Kredit

Kad kredit boleh digunakan untuk tujuan menghasilkan rekod kewangan atau skor kredit yang baik. Sekiranya kita menggunakan kad kredit pada kadar yang bersesuaian dengan pendapatan dan membayar keseluruhan baki hutang setiap bulan, ini menunjukkan kita mempunyai habit kewangan yang baik.

Rekod kewangan kad kredit akan muncul dalam rekod CCRIS dan CTOS sebagai rekod yang baik sekiranya kita membuat pembayaran minimum setiap bulan. Namun lebih baik sekiranya semua baki hutang dibayar sepenuhnya setiap bulan untuk mengelakkan kadar faedah yang tinggi.

Bank lebih sukar meluluskan permohonan pinjaman kita sekiranya tiada rekod kewangan melalui CCRIS dan CTOS. Ini kerana bank tidak tahu samada kita pembayar hutang yang baik atau tidak.

4. Mata Ganjaran Dan Cashback

Sebahagian kad kredit hadir dengan tawaran mata ganjaran dan cashback. Kita boleh mengumpul mata ganjaran dengan setiap penggunaan kad kredit dan boleh ditebus dengan hadiah-hadiah yang menarik.

Selain daripada itu, terdapat juga kad kredit petrol yang menawarkan mata ganjaran, cashback dan diskaun petrol dari stesen minyak yang terpilih. Contohnya seperti kad kredit Maybank Petronas dan Public Petron. Kad kredit ini dapat menjimatkan perbelanjaan pemegang kad.

5. Yuran Tahunan

Yuran tahunan akan dikenakan kepada pemegang kad bergantung kepada jenis kad yang dipegang. Perlu diingat setiap bank ada tawarkan kad yang berbeza-beza. Setiap kad mempunyai jumlah yuran tahunan yang berbeza.

Ada kad kredit yang tiada yuran tahunan, ada juga yang memansuhkan yuran tahunan sekiranya melakukan banyak transaksi dalam setahun.

6. Kadar Faedah Hutang

Setiap bulan bank akan keluarkan bil penyata kad kredit yang memaparkan ringkasan transaksi dalam sebulan. Baki hutang akhir bulan beserta bayaran minimum yang perlu dijelaskan akan disertakan sekali.

Kebiasaannya bank akan memberi kelonggaran masa selama lebih kurang 20 hari untuk kita membuat bayaran. Sekiranya kita memilih untuk membuat bayaran untuk keseluruhan baki hutang, tiada caj kadar faedah akan dikenakan kerana baki hutang akan menjadi kosong setiap bulan.

Namun begitu, sekiranya kita memilih untuk membuat bayaran minimum sahaja, baki hutang akan dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi sekitar 13-18%!

7. Kitaran Bil Kad Kredit

Kitaran bil kad kredit tidak semestinya pada penghujung bulan. Kitaran bil boleh bermula dan berakhir pada awal bulan. Sentiasa pastikan kitaran bil kad kredit untuk mengelakkan kita terlepas tarikh akhir bayaran kad kredit.

Setelah bil penyata kad kredit dikeluarkan, kita menpunyai masa sehingga 20 hari untuk membuat pembayaran. Pastikan kita membuat pembayaran tepat pada masa untuk mengelakkan caj lambat bayar dan juga kemungkinan rekod kewangan yang buruk.

Kesimpulan

Kad kredit mempunyai banyak kelebihan. Namun begitu ia perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak terlebih belanja yang akan mengakibatkan kewangan anda terjejas.

Ada beberapa tips penggunaan yang boleh kita amalkan. Jangan berbelanja melebihi kemampuan sendiri dan pastikan anda membayar keseluruhan baki hutang setiap bulan.

Bayar baki hutang kad kredit sejurus selepas bil penyata dikeluarkan. Gunakan kad kredit untuk pembayaran petrol dan barangan runcit untuk mendapat cash back dan mata ganjaran.

Kenalpasti kedai yang menawarkan pelan ansuran tanpa faedah seperti kedai perabot dan telefon pintar.

Khamis, Mac 19

Apa itu Borang CP500?

CP500 adalah bayaran ansuran cukai pendapatan untuk individu berpendapatan perniagaan. Bayaran kepada LHDN ni seperti pra-bayar. Bayar dulu ansuran kemudian hantar e-filing (pengiraan cukai sebenar). Ansuran ini hendaklah dibayar setiap dua bulan sekali iaitu enam kali ansuran mulai dari bulan Mac setiap tahun hingga Januari tahun berikutnya.
Amaun ansuran akan dianggarkan oleh LHDN dan akan dihantar kepada pembayar cukai pada setiap awal tahun menggunakan notis ansuran CP500. Pembayar cukai dikehendaki membuat bayaran mengikut tarikh dan jumlah bayaran ansuran seperti yang ditetapkan di dalam notis CP500 tersebut. Bagi individu yang tidak menerima notis ini pada penghujung bulan Februari, boleh membuat semakan pengeluaran CP500 di cawangan LHDN yang mengendalikan fail pembayar cukai tersebut.
Pembayar cukai yang menerima notis ansuran CP500 dan tidak bersetuju dengan amaun yang ditetapkan, mereka boleh memohon pindaan arahan bayaran kebiasaannya dilampirkan bersama notis CP500 yang telah dihantar kepada pembayar cukai. Permohonan pindaan bayaran ansuran ini hendaklah dibuat tidak lewat dari 30 Jun bagi tahun yang berkaitan. Penulis mencadangkan pembayar cukai tidak membuat pindaan ansuran ini (bayar seperti yang telah termaktub dalam surat yang diterima).
Sekiranya jumlah ansuran dibayar melebihi jumlah cukai kena dibayar (seperti yang diisytihar pada e-filing), maka bayaran balik akan dibayar secara automatik. Sekiranya jumlah cukai kena dibayar melebihi jumlah ansuran dibayar, maka tambahan bayaran cukai perlu dibayar segera.

Rabu, November 6

Tawaran Beli Rumah Dan Dapat Cashback?

Istilah cashback dalam hartanah bermaksud pemulangan wang apabila kita membeli sesebuah hartanah. Nilai dan jumlah cashback tersebut dinyatakan di dalam Surat Perjanjian Jual Beli Rumah (S&P).
Dalam bahasa mudah, cashback ditawarkan oleh pemaju dan yang kita bakal terima nanti mempengaruhi nilai pinjaman pembiayaan hartanah; sekaligus menyebabkan wujudnya kos tambahan dalam pinjaman pembiayaan hartanah.
Ada orang yang membeli sesebuah rumah kerana tawaran diskaun yang tinggi membantu mengurangkan bayaran komitmen bulanan, dan ada juga kerana tawaran cashback kerana inginkan wang tunai segera.
“Tahukah anda, untuk 5% cashback, kita boleh dapat sehingga RM25,000 untuk rumah yang berharga RM500,000.”
Sifat Cashback

Sebagai permulaan, kita harus tahu bahawa bank pada kebiasaannya menawarkan pinjaman pembiayaan hartanah sehingga 90% bagi hartanah kediaman.
Dan jika sesebuah projek tersebut menawarkan rebat atau diskaun sebanyak 15%, maka kita akan dapat 5% kembali sebagai cashback; bergantung kepada nilai rebat dan diskaun yang ditawarkan.
Pada kebiasaannya, sebuah projek yang menepati kehendak pembeli rumah tidak perlu menawarkan sebarang cashback mahu pun diskaun yang berlebihan kepada bakal pembeli; melainkan diskaun Bumiputera.
Hal ini berbeza dengan projek yang digelar projek ‘sakit’ yang dijual di luar kemampuan kewangan bakal pembeli rumah dan penawaran jenis kediaman yang tidak tepat, seperti menawarkan kediaman jenis kondominium di kawasan luar bandar.

Risiko Cashback


Selain daripada itu, projek-projek yang menawarkan cashback yang tinggi juga akan menyebabkan potensi berlakunya aliran tunai yang negatif kepada bakal pembeli rumah. Ini kerana harga bagi projek-projek ini seringkali dinaikkan atau ‘mark up’ bagi membolehkan mereka memberikan diskaun tambahan.
Kebenaran yang ramai tidak ketahui adalah wang cashback yang kita terima bukanlah wang percuma daripada pemaju mahu pun pihak institusi kewangan. Sebaliknya, kita perlu membayarnya untuk tempoh kurang lebih 30 tahun.
Risiko terbesar apabila kita menerima cashback adalah kita tidak tahu cara terbaik untuk menggunakannya sebagai satu alternatif bagi menjana pendapatan. Akhirnya kita membelanjakannya kepada perkara yang tidak mendatangkan faedah dan setakat memuaskan hawa nafsu semata-mata.
Cara terbaik untuk memahami isu ini, adalah berdasarkan satu senario di mana kita mempunyai pelbagai komitmen dan berdepan dengan hutang yang besar.
Bayangkan kita mempunyai hutang peribadi dan kad kredit sekitar RM50,000 dan juga baki hutang kereta sekitar RM40,000. Bayaran bulanannya secara kasar adalah sekitar RM3,000. Memandangkan komitmen kita sangat tinggi, maka kita tidak mampu untuk menyimpan secara konsisten.
Dan kita pula berminat untuk membeli sebuah rumah pada harga RM650,000 dan ditawarkan cashback sebanyak RM90,000.
Dengan wang RM90,000 tadi, kita sememangnya mampu untuk menyelesaikan hutang peribadi, kad kredit dan baki hutang kereta secara lump sum; bahkan memiliki sebuah rumah lagi!
Di sinilah ramai penerima cashback kantoi kerana tidak mempunyai perancangan rapi tentang pengurusan kewangan dan cenderung menggunakan cashback untuk melancong, menukar sport rim kereta dan sebagainya!
Rumah yang baru sahaja kita beli tersebut memerlukan bayaran bulanan sebanyak RM4,000 sebulan. Dan kita berjaya mendapatkan penyewa pada harga RM2,000 sebulan namun perlu menanggung RM2,000 aliran tunai negatif.
Walaupun kita mungkin menghadapi aliran tunai negatif, keadaan kita adalah lebih baik berbanding dengan tahap hutang sebelum ini. Dan kita mempunyai lebih peluang untuk menyimpan wang pada masa depan.

Guna Cashback Untuk Jana Wang


Kesilapan ramai orang yang mendapat cashback adalah mereka berpura-pura tidak tahu bahawa wang tersebut bukanlah wang untuk bercuti ke luar negara, membeli gajet terkini atau pun menaik taraf hidup dengan membeli kereta terbaru.
Cashback jika digunakan dengan betul, mampu membantu kita untuk menjana pendapatan dan mendapat aliran wang tunai positif untuk beberapa tahun lamanya.
Di antara teknik paling bijak dalam menggunakan cashback adalah menggunakannya sebagai 10% deposit rumah kedua mahu pun ketiga.
Dengan ini, kita mampu menjana lebih banyak sumber pendapatan dan jika lokasi rumah yang dibeli adalah strategik, kita berpeluang menyewakannya dan menikmati aliran wang tunai positif.
Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, cashback sama sekali tidak jahat. Asalkan kita tahu bagaimana cara untuk menggunakan wang tambahan tersebut dengan bijak dengan matlamat untuk menghasilkan aliran wang tunai yang positif.
“Bukan pistol yang membunuh manusia, sebaliknya manusia yang menarik picu dan membunuh manusia lain.”
Dan sekiranya kita tidak memerlukan cashback, kita sebenarnya mampu mendapatkan jumlah pinjaman yang lebih rendah dan tidak berlebihan dalam membuat pinjaman pembiayaan rumah kita kelak.