Penyata kewangan adalah terdiri daripada penyata pendapatan, kunci kira-kira, dan penyata aliran tunai. Bagi yang belajar perakaunan barangkali sudah biasa dengan penyata kewangan, tetapi bagaimana pula dengan yang lain? Ada 5 perkara penting yang kita kena tahu semasa membaca penyata kewangan seperti berikut:
1. Hasil (Revenue)
Ia boleh datang dalam bentuk jualan, royalti, atau apa-apa sahaja yang mendatangkan pendapatan kepada syarikat.
Syarikat yang mempunyai peningkatan revenue dari tahun ke tahun adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik.
2. Keuntungan (Profit)
Untung bersih adalah revenue tolak kos-kos lain seperti gaji pekerja, sewa pejabat, belanja penyelenggaraan, belanja pengangkutan, belanja pengiklanan, atau cukai.
Sama seperti revenue, syarikat yang mempunyai peningkatan untung dari tahun ke tahun adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik. Ini menunjukkan syarikat tersebut bijak dalam menguruskan kos operasi.
3. Aset
Asset adalah sumber sesebuah syarikat. Ianya adalah apa-apa sahaja yang dimiliki syarikat yang boleh menghasilkan nilai ekonomi kepada sesebuah syarikat sama ada aset tetap iaitu bangunan, tanah atau aset semasa seperti tunai.
Syarikat yang mempunyai aset yang banyak berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan dan memberi pulangan yang terbaik kepada para pelabur.
4. Liabiliti
Liability adalah hutang yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Contohnya adalah seperti pinjaman, bon, dan perbelanjaan terakru (yang masih belum dibayar).
Syarikat yang mempunyai liabiliti yang banyak tidak semestinya tidak bagus kerana mungkin syarikat meminjam bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan bagi menjana keuntungan.
Tetapi adalah lebih baik jika liabiliti tidak meningkat dari tahun ke tahun kerana ia menunjukkan syarikat tersebut tidak bijak dalam menguruskan operasi syarikat.
5. Ekuiti
Ekuiti adalah pelaburan syarikat dalam perniagaan iaitu modal yang dilaburkan dan untung/rugi dalam aktiviti perniagaan. Keuntungan akan meningkatkan ekuiti manakala kerugian akan mengurangkan ekuiti.
Jadi syarikat yang mempunyai ekuiti yang meningkat dari tahun ke tahun adalah syarikat yang berpotensi untuk menjana keuntungan. Formula ekuiti adalah:
Ekuiti = Aset – Liabiliti
Sekarang anda sudah tahu bagaimana untuk membaca penyata kewangan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan