Memaparkan catatan dengan label profit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label profit. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 10

5 Perkara Penting Dalam Penyata Kewangan Laporan Syarikat Yang Perlu Kita Tahu

 

Penyata kewangan adalah terdiri daripada penyata pendapatan, kunci kira-kira, dan penyata aliran tunai. Bagi yang belajar perakaunan barangkali sudah biasa dengan penyata kewangan, tetapi bagaimana pula dengan yang lain? Ada 5 perkara penting yang kita kena tahu semasa membaca penyata kewangan seperti berikut:

1. Hasil (Revenue)

Ia boleh datang dalam bentuk jualan, royalti, atau apa-apa sahaja yang mendatangkan pendapatan kepada syarikat.

Syarikat yang mempunyai peningkatan revenue dari tahun ke tahun adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik.

2. Keuntungan (Profit)

Untung bersih adalah revenue tolak kos-kos lain seperti gaji pekerja, sewa pejabat, belanja penyelenggaraan, belanja pengangkutan, belanja pengiklanan, atau cukai.

Sama seperti revenue, syarikat yang mempunyai peningkatan untung dari tahun ke tahun adalah syarikat yang menunjukkan prestasi yang baik. Ini menunjukkan syarikat tersebut bijak dalam menguruskan kos operasi.

3. Aset

Asset adalah sumber sesebuah syarikat. Ianya adalah apa-apa sahaja yang dimiliki syarikat yang boleh menghasilkan nilai ekonomi kepada sesebuah syarikat sama ada aset tetap iaitu bangunan, tanah atau aset semasa seperti tunai.

Syarikat yang mempunyai aset yang banyak berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan dan memberi pulangan yang terbaik kepada para pelabur.

4. Liabiliti

Liability adalah hutang yang dimiliki oleh sesebuah syarikat. Contohnya adalah seperti pinjaman, bon, dan perbelanjaan terakru (yang masih belum dibayar).

Syarikat yang mempunyai liabiliti yang banyak tidak semestinya tidak bagus kerana mungkin syarikat meminjam bertujuan untuk mengembangkan lagi perniagaan bagi menjana keuntungan.

Tetapi adalah lebih baik jika liabiliti tidak meningkat dari tahun ke tahun kerana ia menunjukkan syarikat tersebut tidak bijak dalam menguruskan operasi syarikat.

5. Ekuiti

Ekuiti adalah pelaburan syarikat dalam perniagaan iaitu modal yang dilaburkan dan untung/rugi dalam aktiviti perniagaan. Keuntungan akan meningkatkan ekuiti manakala kerugian akan mengurangkan ekuiti.

Jadi syarikat yang mempunyai ekuiti yang meningkat dari tahun ke tahun adalah syarikat yang berpotensi untuk menjana keuntungan. Formula ekuiti adalah:

Ekuiti = Aset – Liabiliti

Sekarang anda sudah tahu bagaimana untuk membaca penyata kewangan!

Sabtu, Julai 4

Adakah Untung Pelaburan Saham/Emas, Tak Kena Cukai?

Perkataan “pelaburan” dan “jual dan beli” itu merupakan dua kaedah untuk menjana keuntungan.

Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan modal kecuali cukai atas keuntungan pelupusan harta tanah dan pelupusan saham dalam Syarikat Harta Tanah di bawah Cukai Keuntungan Harta Tanah seperti dinyatakan di atas.

Oleh itu, sama ada satu pelaburan itu dikenakan cukai pendapatan atau tidak, adalah satu penentuan fakta.

Sekiranya pelabur hanya membuat pelaburan secara pasif contohnya membeli saham dan memegang saham tersebut semata-mata bagi mendapatkan pulangan dividen, maka dalam keadaan ini keuntungan hasil daripada jualan saham tidak dikenakan cukai pendapatan.

Sebaliknya, sekiranya, pelabur menjalankan aktiviti jual beli saham secara aktif dan terancang maka dalam keadaan sebegini pelabur dianggap menjalankan perniagaan jual beli saham (trading of shares) dan keuntungan atas jualan saham ini adalah dikenakan cukai pendapatan sebagai keuntungan dari perniagaan.

Dengan perkataan lain, sekiranya pelaburan tersebut menjana keuntungan yang berulang-ulang disebabkan wujudnya ciri-ciri perdagangan (badges of trade) maka keuntungan hasil dari aktiviti jual saham adalah tertakluk kepada cukai pendapatan.

Kesimpulannya, sekiranya suatu pelaburan yang dibuat itu merupakan aktiviti perdagangan atau komersil yang menjana keuntungan seperti pelaburan dalam saham, pelaburan daripada penjualan harta tanah, pelaburan emas dan sebagainya maka keuntungan dari jual pelaburan ini adalah pendapatan yang dikenakan cukai.

Sekiranya, semasa aktiviti jual pelaburan ini mengalami kerugian, maka pelabur hanya perlu melaporkan kerugian dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi suatu tahun taksiran itu dan jumlah kerugian tersebut boleh dibawa ke tahun taksiran berikutnya sebagai tolakan.

Pelabur tidak boleh menyatakan alasan kerugian sebagai alasan untuk tidak melaporkan pendapatan mereka yang diterima.