Lelaki yang lebih dikenali dengan nama Top Aitthipat Kulapongvanich dilahirkan pada 24 November 1986 dalam keluarga yang berada. Jadi beliau tidak terlalu memikirkan tentang masa depannya.
Tetapi panas tidak sampai ke petang apabila perniagaan keluarganya mula mengalami kemerosotan.
Sewaktu berusia 16 tahun, Top agak taksub dengan permainan komputer. Dari situlah titik tolak beliau mula terlibat dalam dunia perniagaan.
Beliau mula menjual senjata-senjata games online tersebut kepada para pengguna lain. Top mendapat keuntungan sebanyak 1 juta Baht sehingga mampu membeli keretanya sendiri.
Namun disebabkan jual beli ini adalah salah di sisi undang-undang, perniagaan ini terpaksa dihentikan dan akaunnya juga telah dibekukan oleh pihak bank. Keadaan ini juga turut diburukkan dengan masalah kewangan keluarganya.
Keluarganya telah diisytihar muflis dengan tanggungan hutang yang banyak. Kerana sikap malasnya selama ini, beliau juga tidak berjaya mendapatkan tempat di universiti awam dan terpaksa mendaftar di universiti swasta.
Dengan baki wang yang ada beliau mengambil keputusan untuk membuka perniagaan DVD Player. Tetapi nasibnya malang kerana telah ditipu.
Beliau berusaha untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank tetapi gagal. Masa itu Top menyesal kerana mengabaikan persekolahan.
Minat dalam bidang perniagaan diteruskan bersama dengan pakciknya. Mereka mula mengusahakan perniagaan chestnut di sebuah pasaraya.
Beliau telah bereksperimen untuk mendapatkan resepi kacang yang sedap dan berjaya mendapatkan rasa yang diingini.
Pelbagai perkara yang dipelajarinya dalam perniagaan kacang ini seperti pemilihan lokasi, strategi perniagaan dan sebagainya. Baharu sahaja hendak menikmati manisnya kejayaan, masalah lain pula timbul.
Pihak pasaraya melarang Top untuk meneruskan perniagaannya kerana mendakwa mesin membuat kacang gorengnya telah mengeluarkan asap sehingga mengotorkan siling.
Pada waktu ini beliau hampir berputus asa. Tambah pula dengan bebanan hutang keluarga yang tekah meningkat sehingga 40 juta Baht!
Oleh itu keluarga Top mengambil keputusan untuk berhijrah ke China.
Anda pasti dapat meneka apa yang berlaku kemudian bukan?
Top berkeras untuk terus menetap di Thailand!
Beliau mencuba pula perniagaan rumpai laut goreng dan telah menghabiskan sebanyak 100 ribu Baht untuk mempelajari teknik mengusahakannya dengan betul.
Beliau cuba untuk memasarkan produknya di 7-Eleven walaupun ia tidak semudah seperti yang disangka. Tetapi berkat kesabaran serta semangat yang tidak berputus asa, produknya ini mendapat sambutan sehingga dipasarkan ke luar negara.
Kini Top menjadi salah seorang jutawan muda terkaya di Thailand. Beliau telah melunaskan kesemua hutang keluarganya.
Kisah hidupnya yang sangat menarik ini juga telah di adaptasi ke layar perak.
Sekiranya anda berminat untuk mengikuti kisahnya, anda bolehlah menonton filem yang bertajuk “Top Secret: The Billionaire”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan