Sabtu, Januari 21

Apa itu Sistem E-TT?


Sistem e-tt diperkenalkan bagi bayaran cukai melalui kaedah TT, EFT dan IBG dari dalam dan luar negara untuk pelbagai jenis bayaran cukai pendapatan. Sistem ini menjana Nombor Akaun Maya (Virtual Account Number(VA)) sebagai identiti pengenalan bayaran. Sistem ini telah dilaksanakan pada 1 April 2022.

Nombor VA ialah nombor 14 digit yang merupakan nombor identiti pengenalan bayaran. Ianya menyerupai format nombor akaun bank yang boleh dikenalpasti oleh pihak bank sebagai bayaran cukai. Nombor ini akan digunakan oleh pembayar cukai sebagai nombor akaun semasa membuat bayaran.

Langkah-langkah penggunaan Sistem e-TT:

  1. pembayar cukai dikehendaki log in ke Sistem e-TT di portal MyTAX terlebih dahulu iaitu https://ett.hasil.gov.my.
  2. lengkapkan maklumat bayaran mengikut pilihan cukai pendapatan yang hendak dibayar.
  3. Nombor VA akan dijana bagi setiap kali pengisian (slip jana Nombor VA akan diberikan kepada pembayar cukai untuk rujukan semasa membuat bayaran).
  4. Keluar sistem. Pembayar cukai meneruskan proses bayaran.

Bayaran cukai yang terlibat bagi penggunaan sistem ini ialah:

  1. cukai pendapatan
  2. kompaun
  3. penghibur awam
  4. cukai pegangan (melibatkan satu penerima saja)
  5. Cukai Keuntungan Harta Tanah:
    • pegangan cukai 3% oleh pemeroleh (seksyen 21B) – individu
    • pegangan cukai 5% oleh pemeroleh (seksyen 21B) – syarikat
    • pegangan cukai 7% oleh pemeroleh (seksyen 21B) – warga asing

Bayaran ini boleh dibuat dari mana-mana bank di seluruh Malaysia dan mana-mana bank asing di luar negara.

Pembayar cukai boleh membuat bayaran cukai menggunakan Nombor VA dari Sistem e-TT melalui medium:

  1. portal perbankan internet bank menerusi IBG/RENTAS (pindahan telegrafik/pindahan wang)
  2. Kaunter bank: IBG/RENTAS/Pindahan Telegrafik/Pindahan Wang sahaja (bayaran secara tunai dan cek tidak dibenarkan)
  3. Mesin Wang Automatik (Automated Teller Machine (ATM)) – menggunakan modul IBG

Bank mengenakan caj tertentu bagi bayaran di kaunter. Kadar caj dikenakan juga boleh dirujuk dari laman web setiap bank dan pembayar cukaiboleh merujuk kepada bank masing-masing untuk maklumat kenaan bayaran tersebut.

Bolehkah pembayar cukai membuat permohonan meminda resit bayaran kepada pusat bayaran? Tidak boleh. Bayaran akan diresitkan berdasarkan kepada maklumat yang diterima di Portal e-TT. Tiada pindaan resit bagi maklumat seperti perubahan/tambahan nama pembayar, nama penerima, pindaan nombor rujukan, kod bayaran, tahun taksiran dan maklumat-maklumat lain. Pembayar cukai perlu merujuk kepada cawangan LHDN bagi permohonan pindaan/pelarasan resit.

Adakah bayaran bagi potongan cukai 2% terhadap bayaran oleh syarikat pembayar kepada ejen atau pengedar (seksyen 107D) boleh dibuat dalam sistem e-TT? Tidak boleh. Pada masa ini, bayaran bagi seksyen 107D tidak boleh dilakukan dalam sistem ini.

Adakah bayaran boleh dibuat melalui https://byrhasil.hasil.gov.my? Tidak boleh. Perkhidmatan bayaran melalui portal ini adalah untuk pembayar cukai yang mempunyai akaun perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX sahaja. Bagi bayaran melalui TT/EFT dan IBG, bayaran hanya boleh dilaksanakan menerusi medium perbankan internet dan kaunter bank sahaja. Pembayaran cukai pegangan (melibatkan ramai penerima), cukai seniman kembara, kompaun dan RPGT oleh pemeroleh masih boleh dilakukan secara manual iaitu menerusi tunai dan cek di Kaunter Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Pusat bayaran Kuala Lumpur akan meresitkan bayaran seperti biasa. Pembayar cukai harus memastikan maklumat bayaran yang dipilih dan diisi dalam sistem e-TT lengkap dan teratur bagi membolehkan bayaran mudah dikesan dan diresitkan. Slip pengesahan bayaran cukai di kaunter bank atau slip pengesahan transaksi bagi bayaran menerusi medium bayaran secara dalam talian juga diterima sebagai bukti bayaran. Pembayar cukai boleh menyimpan slip tersebut sebagai bukti. Pembayar cukai individu juga boleh membuat semakan sendiri menerusi https://mytax.hasil.gov.my (e-lejer).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan