Memaparkan catatan dengan label Inheritance Property. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Inheritance Property. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 11

Kenapa Perlu Hibah Berbanding Faraid?


 Faraid kan dah ada, jadi kenapa perlu hibah? Dengan menggunakan sistem faraid, harta si mati akan dibahagikan mengikut hukum Islam setelah ditolak pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (nazar, zakat dan lain-lain) serta wasiat yang dibenarkan oleh syarak iaitu tidak melebihi ⅓ dari jumlah harta.

Siapa Yang Perlu Faraid?

Memandangkan faraid dibahagikan mengikut hukum Islam kepada seluruh anggota keluarga, tiada masalah sekiranya kita mempunyai keluarga yang besar dan harta yang banyak.

Ia juga tidak akan mengecilkan hati sesiapa dan dapat mengelakkan pergaduhan dalam kalangan keluarga.

Siapa Yang Patut Hibah?

Hibah diperlukan bagi mereka yang inginkan harta terus sampai kepada penama tanpa melalui pembahagian mengikut jumlah yang telah ditetapkan faraid. Hibah adalah hak yang boleh diberikan sebanyak mana pun tanpa ada had.

Sebagai contoh, seseorang hanya ada anak perempuan atau anak angkat, hibah boleh dilakukan supaya dapat kepada mereka yang kita sayang.

Ada kes di mana harta tidak dibuat hibah akhirnya jatuh ke tangan keluarga suami. Si isteri dan anak tidak mendapat rumah dan harta yang sepatutnya.

Oleh itu, hibah amat penting supaya kes-kes sebegini dapat dielakkan.

Rukun Hibah Yang Perlu Kita Tahu

Ada 4 rukun hibah yang perlu kita tahu bagi memastikan hibah berjalan dengan lancar dan sah iaitu:

  1. Pemberi hibah
  2. Penerima hibah
  3. Harta yang hendak dihibah
  4. Ijab dan Kabul (kontrak secara bertulis dan telah disahkan)

Perkara Tentang Hibah Yang Perlu Kita Tahu

Hibah adalah pemberian sukarela atau boleh juga dikatakan hadiah daripada pemberi kepada penerima yang dibuat secara ikhlas tanpa mengharap apa-apa bentuk balasan. Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau pun bukan waris.

Setelah melakukan hibah, segala harta dihibahkan tidak akan dibahagikan dalam bentuk faraid lagi.

Terdapat 2 Jenis Hibah

1. Hibah Mutlak

Hibah Mutlak adalah hibah yang terus berkuat kuasa serta merta setelah penukaran hak milik dibuat. Penerima mempunyai hak apa sahaja ke atas harta tersebut.

Sekiranya penerima pula meninggal dunia, harta tersebut akan menjadi pusaka bagi pihak penerima.

2. Hibah Bersyarat

Hibah bersyarat pula bermaksud meletakkan sesuatu syarat sampingan bersama-sama. Syarat yang dibuat perlu ada hitam putih dan boleh mempunyai saksi.

Konsep hitam putih itu adalah untuk memberitahu bahawa hibah berkuatkuasa sebaik sahaja pemberi hibah meninggal dunia, tetapi jika penerima yang meninggal dunia dahulu, hibah akan kembali kepada pemberi hibah untuk mencari penerima baharu.

Itulah dia sebab-sebab mengapa kita perlu hibah dan jenis hibah yang boleh dilakukan. Pastikan ada saksi supaya hibah yang kita lakukan berjalan lancar apabila kita tiada lagi nanti.

Ahad, Jun 28

Harta Pusaka, Bidang Kuasa Dan Caj

Dimana tempat keluar Surat Kuasa Mentadbir (SKM)? Apakah Bidang kuasa tempat keluar SKM tersebut?

(a) Amanah Raya Berhad (ARB)
(Harta alih sahaja tidak lebih RM600,000)

(b) Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil (JKPTG)
(Wajib ada sekurang kurangnya harta tak alih seperti rumah/tanah dan nilaian keseluruhan harta pusaka tidak lebih RM2 juta)

(c) Mahkamah Tinggi Sivil
(si mati menyediakan wasiat atau tidak menyediakan wasiat)

untuk makluman ARB boleh menguruskan pusaka anda samada tidak bersama wasiat atau bersama berwasiat, yang mana ARB boleh menjadi pemohon di Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil bagi harta pusaka anda yang mempunyai harta tak alih bawah RM2 juta dan menjadi Pentadbir bagi harta pusaka anda di Mahkamah Tinggi Sivil seperti yang tertakluk dalam seksyen 13 dalam Akta Amanah Perbadanan AmanahRaya 1995)

Berapakah fi Pentadbiran Pusaka di Amanah Raya Berhad?

Terdapat dua struktur fi pentadbiran pusaka di Amanah Raya Berhad:
Struktur Fi Pentadbiran Pusaka bagi Surat Kuasa Mentadbir (SKM) yang dikeluarkan oleh:
(a) Amanah Raya Berhad (ARB)

(b) SKM yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil ( diuruskan oleh ARB sebagai Pentadbir)

(c) SKM/PERINTAH JKPTG yang dikeluarkan oleh Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil (diuruskan oleh ARB sebagai pempetisyen/pemohon)

Bagi (a) dan (b) di atas, fi pentadbiran pusakanya adalah seperti berikut:-

5% RM25,000 yang pertama
4% baki yang berikutnya sehingga RM225,000
3% baki yang berikutnya sehingga RM225,000
2% baki yang berikutnya sehingga RM500,000
1% bagi baki selebihnya

Contoh pengiraan fi bagi Pentadbiran Pusaka bernilai RM2,100,000

(RM 25,000 x 5%)= RM. 1,250
(RM 225,000 x 4%)= RM 9,000
(RM 250,000 x 3%)= RM 7,500
(RM 500,000 x 2%)= RM 10,000
(RM 1,100,000 x 1%)= RM 11,000

Jumlah fi pentadbiran = RM38,750

38,750
…............. X 100% = 1.85% (Peratus digenapkan)
2,100,000

Jumlah fi pentadbiran pusaka yang perlu dibayar kepada ARB adalah RM 38,750 bersamaan 1.85% daripada harta RM2,100,000.

Saya pernah dengar mitos dan persepsi yang jahat yang mengatakan caj fi Pentadbiran Pusaka di ARB sebanyak 15% yang saya pikirkan mungkin dia tambah semua peratus tu tanpa mengikut stage peratus dan nilaian pusaka.

Ada juga mengatakan mahal dengan fi yang dikenakan. Cuma mungkin yang di dengar itu seperti mengeluarkan sekeping kertas sebab apabila pergi ke tempat  harta si mati, pihak tersebut akan meminta waris mendapatkan surat kuasa di ARB.

Ya la suratkan. Kalau saya pada mulanya pun ingat sekadar sekeping surat yang boleh dikeluarkan dalam 1 jam sahaja, rupanya untuk mendapatkan surat tersebut banyak perkara ARB perlu dibuat .
Menguruskan harta orang perlulah berhati hati dan perlu mengikut undang undang yang telah ditetapkan.

Baik la, Bagi (c) Fi Pentadbiran Pusaka adalah seperti berikut:
2.0% daripada nilaian pusaka si mati

Syaratnya:
Si mati ada sekurang-kurangnya satu harta tak alih (Rumah/Tanah)
Nilaian harganya tidak lebih RM 2,000,000

Contoh:

Nilaian pusaka si mati adalah RM1,000,000
1,000,000 × 2.0% = RM 20,000

Maka fi pentadbiran pusaka yang perlu dibayar kepada ARB adalah RM20,000

Mengapa Amanah Raya perlu mengenakan caj fi sedangkan itu adalah duit waris?

Fi yang dikenakan oleh Amanah Raya adalah untuk kerja–kerja yang dijalankan oleh Amanah Raya sebagai pentadbir kepada pusaka si mati yang melibatkan tugas-tugas:

1.    pendaftaran aset
2.    pendaftaran waris-waris
3.    penyiasatan aset di tempat aset berada
4.    penyiasatan waris
5.    pengesahan aset di tempat aset berada
6.    pengesahan liabiliti/hutang tempat hutang tersebut berada
7.    perbicaraan di Mahkamah Tinggi/Pejabat Pusaka Kecil (JKPTG)
8.    pencarian aset-aset (tempat aset tersebut berada)
9.    penyelesaian/pembayaran hutang dan liabiliti
10.  Permohonan Perintah Pembahagian di Mahkamah Tinggi Sivil
11.  pembahagian pusaka kepada waris-waris (mengikut persetujuan waris/ faraid/Perintah/wasiat/ akta pembahagian)
12.  ARB akan menguruskan semua pusaka si mati sehingga siap dipindahmilik/diturunmilik kepada waris waris (contoh: tanah/saham/dll)

Jika geran atas nama si mati pada mulanya (ARB akan pergi pindahmilik/turunmilik geran tersebut keatas nama waris mengikut perintah biarpun tanah tersebut di serata Malaysia)

Untuk makluman Fi Pentadbiran yang dikenakan adalah dibenarkan oleh undang-undang di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 dan Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Bolehkah caj fi tersebut ditolak daripada harta pusaka si mati?
Boleh sekiranya pusaka mempunyai aset berbentuk tunai.

Sekiranya waris tidak membayar fi dan kos yang dikenakan, apakah yang akan berlaku?

Sekiranya tiada pusaka berbentuk tunai dan waris enggan membayar fi atau kos tersebut, fail pentadbiran pusaka akan ditutup dan tiada sebarang pentadbiran ke atas pusaka tersebut akan dilakukan sehinggalah fi pentadbiran dan kos-kos berkaitan diselesaikan.

Adakah ARB ada akta tersendiri?

Ya, ARB mempunyai akta sendiri iaitu Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 yang diluluskan oleh parlimen yang tiada pada syarikat amanah lain.

Selain itu, ARB juga dikawal dibawah syarikat amanah seperti yang lain.

ARB juga satu satunya syarikat amanah awam di Malaysia.