Lembaga Hasil
Dalam Negeri (LHDN) membuat penjelasan berhubung isu penalti
100 peratus terhadap pembayar cukai dengan mengemukakan lima contoh kes
yang dikenal pasti tertakluk kepada kadar baharu itu.
Antara contoh kes berkenaan adalah
kesalahan berulang tidak melapor atau salah melapor pendapatan yang
diterima melalui borang retan dan keengganan memberi kerjasama penuh
semasa proses audit atau siasatan.
Tiga lagi
contoh kes, melibatkan kegagalan memberi maklumat atau dokumen yang
diminta untuk membantu proses audit dan siasatan, melaksanakan skim
pelarian cukai secara terancang serta kegagalan mematuhi perundangan
percukaian walaupun pernah diaudit atau disiasat.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin
Samitah berkata, di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Ketua Pengarah
Hasil Dalam Negeri diberi kuasa untuk mengenakan penalti bagi kesalahan
tidak melaporkan pendapatan atau melaporkan dengan salah pendapatan
tertakluk kepada cukai.
“Cadangan peningkatan
kadar penalti kepada 100 peratus jumlah cukai yang sepatutnya dibayar
atas pendapatan tidak dilapor atau kurang dilapor mulai 1 Januari 2018
ini merupakan satu langkah bagi mempertingkatkan tahap pematuhan secara
sukarela dalam kalangan pembayar cukai dengan cara menangani pembayar
cukai yang tegar gagal mematuhi perundangan percukaian,” katanya dalam
satu kenyataan di sini.
Kenyataan itu adalah
susulan pengumuman Sabin pada Rabu lalu bahawa LHDN dijangka
meningkatkan kadar penalti kepada 100 peratus terhadap kesalahan
mengelak dan melaporkan jumlah cukai yang tidak tepat dalam kalangan
pembayar cukai bermula Januari 2018.
Langkah
tersebut diambil berikutan kes-kes ketirisan pembayaran cukai di
negara ini, khususnya melibatkan syarikat yang menjana keuntungan
ratusan juta hingga berbilion ringgit.
Sabin
memberitahu, sudah tiba masanya LHDN menyediakan rangka kerja penalti
baharu yang memasukkan kadar penalti maksimum berbanding hanya 45
peratus sebelum ini.
Justeru, sebagai
persediaan, beliau mahu pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan dan
maklumat yang betul dalam masa ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan