Rabu, Februari 28

Salah Faham Urus Duit Yang Mesti Diperbetulkan

Jom kita lihat satu per satu salah faham urus duit yang sering berlaku:
1 – “Gaji tinggi, hidup selesa”
Itulah yang ditanam dalam minda masyarakat kita, sejak daripada kecil lagi.
Kononnya jika dapat jumlah pendapatan yang tinggi, mesti dapat hidup dengan selesa.
Dapat beli apa sahaja, penuhi apa sahaja yang diingini.
Hakikatnya tidak begitu.
Jumlah gaji atau pendapatan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu bebas daripada sebarang masalah kewangan.
Mesti anda semua pernah dengar dengan pepatah “Semakin besar periuk, semakin besar keraknya”, bukan?
Dari konteks pengurusan kewangan peribadi, pepatah ini memberi gambaran tabiat kebanyakan orang yang suka menambah perbelanjaan apabila pendapatan bertambah.
Pantang gaji naik sedikit, terus mengidamkan kereta yang lebih mahal.
Dapat bonus, dihabiskan kepada shopping membeli pakaian-pakaian mahal dan barang-barang bukan keperluan.
Akibatnya, walau gaji bertambah besar, namun kehidupan masih tetap sama dibelenggu masalah kewangan.
Sebenarnya, apa yang penting bukanlah gaji yang tinggi, tetapi, ilmu pengurusan kewangan yang betul dan sikap sendiri terhadap wang yang dimiliki.
Apabila gaji bertambah, usahlah berasa terlalu teruja dan gelap mata.
Sepatutnya, sebahagian daripada gaji yang bertambah itu hendaklah ditambah kepada tabung simpanan, bukannya semua dihabiskan kepada perbelanjaan.
Setiap kali berbelanja, kena selalu bezakan antara keperluan dan kehendak.
Sentiasa buat perancangan dan bajet, dan patuh kepada bajet tersebut.
Berbelanja ikut kemampuan sendiri, dan sentiasa tanamkan rasa cukup dan syukur dengan rezeki yang diperoleh.
InsyaAllah, dengan sentiasa amalkan perkara-perkara ini, walau sebesar atau sekecil mana pun gaji yang diperoleh, kita akan sentiasa mendapat hidup yang selesa, tenang dan bebas daripada belenggu masalah kewangan.
2 – “Simpan duit apabila ada duit lebih sahaja”
“Dapat gaji, bolehlah beli itu-ini. Makan di sana-sini. Puaskan dulu kehendak diri. Kalau ada duit lebih, barulah simpan.”
“Penat-penat kerja, dapat gaji, mestilah nak belanja untuk kepuasan diri-sendiri dulu. Buat apa nak simpan duit.”
Masih ramai sebenarnya yang berpegang dengan kata-kata di atas.
Namun akibatnya, mereka masih gagal menyimpan.
Sudah tentulah, sebab nak harapkan ada duit lebih terlebih dahulu baru nak menyimpan, memang susah.
Duit, kalau dah mula dibelanjakan, memang susah nak berhenti.
Memang susah nak biarkan ada baki untuk disimpan.
Jadi, cara nak atasi masalah ini, kenalah tukar mindset.
Simpan dulu sebelum berbelanja.
Apabila dapat gaji, simpan dulu sebahagiannya, lupakan, dan yang selebihnya barulah dibelanjakan.
Prinsip penting dalam menyimpan; sanggup berkorban kesenangan hari ini untuk kesenangan hari esok.
Contohnya, yang bergaji RM 3,000 sebulan, disarankan untuk simpan terlebih dahulu dalam jumlah minimum RM 300.
Bayangkan, dengan RM 300, macam-macam perkara juga boleh dibeli untuk memenuhi kehendak yang membuak-buak.
Tetapi, demi membina tabung simpanan dan mengejar matlamat kewangan yang diingini, sanggup dikorbankan keseronokan membelanjakan duit tersebut demi disimpan ke dalam tabungan.
Jika konsisten, hasil tabungan nanti akan memberikan kesenangan pada masa hadapan.
3 – “Gaji sikit, susah nak menyimpan”
Ramai juga yang memberikan alasan pendapatan yang kecil menjadi penghalang untuk menyimpan secara konsisten.
Ya, tidak dinafikan, dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi sekarang, memang agak sukar bagi mereka yang berpendapatan kecil untuk menyimpan.
Tetapi, kalau boleh, janganlah sentiasa jadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak menyimpan.
Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil dahulu, pastikan konsisten setiap bulan.
Ini penting untuk memupuk tabiat menabung terlebih dahulu.
Nanti apabila pendapatan semakin bertambah, akan lebih mudah dan seronok untuk menyimpan kerana telah terdidik pada ‘waktu susah’ dulu.
Pada masa sama, disarankan juga setiap kali mendapat duit tambahan seperti bonus, hadiah atau pun bantuan, lebih baik duit tersebut disimpan jika tiada apa-apa keperluan mendesak pada waktu tersebut.
Ingatlah pepatah lama, “Sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit”
4 – “Jimat-cermat pada waktu gawat sahaja”
“Waktu senang, bolehlah berbelanja lebih. Waktu susah, pandai-pandailah berjimat-cermat”
Mesti anda pun pernah dengar orang luahkan kata-kata di atas, bukan?
Masa banyak duit, bukan main seronok lagi berbelanja.
Apabila duit dah tinggal sedikit, barulah mula nak berjimat-cermat.
Hakikatnya, bukan begini yang sepatutnya diamalkan.
Perbelanjaan hendaklah dikawal bukan sahaja pada setiap masa, tak kira pada waktu senang, dan lebih-lebih lagi pada waktu susah.
Utamakan perbelanjaan-perbelanjaan keperluan berbanding kehendak, sentiasa ikut bajet yang dibuat dan kemampuan kewangan sendiri.
Kunci utamanya adalah bersederhana; jangan terlalu boros, dan jangan pula terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri.
Ambillah iktibar daripada pengajaran surah Yusuf.
Dalam surah ini, diajarkan supaya berjimat-cermat dan banyakkan menyimpan pada waktu senang, supaya nanti apabila tiba waktu gawat, hasil simpanan tersebut dapat digunakan untuk menempuh waktu sukar tersebut.
Begitulah yang sepatutnya kita amalkan dalam pengurusan kewangan peribadi sendiri.
5 – “Duit banyak-banyak, bukan boleh bawa masuk kubur”
Kata-kata di atas sering dilemparkan sebagai sindiran kepada golongan yang pandai urus duit.
Kononnya, sia-sia sahaja menguruskan duit dengan baik, simpan duit banyak-banyak, sebab tak boleh di bawa mati pun.
Ya, memang betul, duit yang banyak memang tidak boleh di bawa masuk kubur.
Tetapi, dengan duit yang banyaklah, dapat membantu untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di alam sana.
Bagaimana?
Bukankah dengan duit yang banyak, akan membantu kita untuk menunaikan zakat, sedekah dan wakaf dengan lebih mudah?
Apabila kita bijak menguruskan kewangan, sudah tentu kita tidak akan meminggirkan amalan mengeluarkan zakat.
Sebahagian duit juga boleh disedekahkan secara konsisten kepada mereka yang memerlukan.
Apabila meninggal dunia, bukan sahaja boleh diwasiatkan harta kepada waris, malah boleh diwakafkan juga.
Zakat, sedekah, wakaf; insyaAllah semua ini jika dilakukan dengan ikhlas, akan menjadi ‘pelaburan’ yang berterusan memberikan hasil.
Semua ini boleh dicapai dengan pengurusan kewangan yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan