Akan timbul masalah terhadap rumah yang kita beli sekiranya kita tidak tahu jenis hak milik tanah tersebut. Bukan apa, ramai pemilik rumah tidak ambil peduli akan jenis hak milik tanah rumah yang ingin dibeli mereka.
Tahukah anda, sebenarnya jenis hak milik tanah ini akan mempengaruhi tempoh milikan, tempoh pindah milik dan juga kelayakan pinjaman? Terdapat banyak jenis hak milik tanah yang perlu kita tahu, jom lihat dan semak satu persatu.
1. Penggunaan Tanah
Pembinaan tanah kediaman atau komersial penting untuk kita tahu, kerana ia melibatkan kos yang perlu kita keluarkan.
Sekiranya rumah dibina di atas tanah komersial, kos utiliti dan cukai yang perlu anda bayar adalah sedikit mahal kerana ia adalah lot komersial yang turut mempunyai kedai dan restoran.
Kalau tanah tersebut dibina di atas tanah kediaman, kadarnya adalah rendah berbanding tanah komersial.
2. Hartanah Freehold Atau Leasehold
Kita perlu fahami konsep Freehold dan Leasehold terlebih dahulu, supaya kita faham status hartanah tersebut dan membuat perbandingan yang sewajarnya sebelum membuat pembelian.
Freehold adalah hartanah milikan tetap iaitu setelah anda membelinya, ia milik anda selamanya. Ia akan bertukar menjadi milik kerajaan jika kerajaan mendapatkan hartanah tersebut semula melalui akta tertentu. Proses pindah milik hartanah berstatus Freehold mengambil masa yang pendek (dalam 3 bulan) dan mudah.
Leasehold adalah hartanah yang dipajak untuk tempoh tertentu contohnya 99 tahun. Selepas tamat tempoh tersebut, kita perlu membayar premium untuk memperbaharuinya. Jika gagal berbuat demikian, akan menyebabkan hartanah kita akan diambil oleh kerajaan negeri semula. Proses pindah milik tanah leasehold mengambil masa yang lebih lama berbanding freehold. (setahun atau lebih)
3. Hartanah Lot Bumiputera Atau Rizab Melayu
Apabila pihak pemaju membina lot perumahan, pihak kerajaan akan menetapkan sebahagian daripadanya akan diperuntukkan sebagai lot bumiputera yang boleh dijual kepada kaum bumiputera sahaja.
Status rizab melayu pula adalah lot hartanah khas untuk dijual kepada kaum melayu sahaja. Walaupun tanah jenis freehold atau leasehold, ia mungkin berstatus rizab melayu.
4. Jenis Hak Milik: Master Title, Strata Atau Individual
Master title adalah hartanah yang belum dipecahkan bahagiannya lagi di mana pemaju memiliki hartanah tersebut. Sekiranya kita membeli hartanah master title, agak sukar juga untuk pemaju memindah milik tanah tersebut. Kita terpaksa tunggu dan mengikuti prosedurnya. Ia adalah proses yang mengambil masa yang lama.
Sekiranya tanah master title telah dipecahkan dan dipindah milik kepada pemilik rumah, ia digelar hak milik strata. Sebagai contoh, pangsapuri, townhouse, kondominium dan beberapa jenis rumah atas tanah ada yang digelar sebagai hak milik strata.
Hak milik individu pula bagi rumah landed seperti teres, semi-D atau banglo, dan ianya boleh dijual dengan cepat.
Begitulah jenis hak milik tanah yang perlu kita ketahui sebelum membeli rumah. Buatlah pilihan yang bijak supaya tidak menyesal dan sukar di kemudian hari.
Pilihlah tanah jenis freehold atau leasehold asalkan ia memudahkan urusan anda. Sekiranya sukar membuat keputusan, boleh dapatkan khidmat nasihat daripada ejen hartanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan