Ahad, Mei 24

Apa itu harta pusaka kecil

Harta Pusaka Kecil adalah harta peninggalan si mati yang terdiri daripada harta tak alih (tanah atau rumah) atau harta alih (wang tunai) dengan nilaian di bawah RM2 juta. Pengurusan Harta Pusaka Kecil adalah tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].

Urusan proses tuntutan pusaka kecil lebih ringkas jika dibandingkan dengan tuntutan pusaka besar. Pemohon boleh membuat permohonan sendiri tanpa perlu mengupah peguam.

Oleh itu, jom kita tengok langkah-langkah untuk tuntutan pusaka kecil.

  1. Waris Perlu Berbincang Dan Bermuafakat Untuk Melantik Seorang Wakil Sebagai Pemohon Proses Tuntutan

Untuk memulakan proses tuntutan harta pusaka, semua waris perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang wakil bagi membuat permohonan tuntutan pusaka. Waris perlu maklum bahawa wakil yang dilantik bukanlah pemilik pusaka, jadi tidak perlu risau.

Wakil inilah yang akan membuat permohonan tuntutan pusaka di pejabat pusaka kecil.

Langkah pertama ini akan jadi jauh lebih mudah jika si mati semasa hayatnya ada membuat perancangan hartanya. Sama ada buat wasiat, hibah atau infaq. Ini kerana, semasa membuat perancangan harta, si mati telah melantik 2 orang pemegang amanah untuk menguruskan harta pusakanya.

  1. Kumpul Dokumen Yang Diperlukan Untuk Permohonan

Kemudian, waris perlu menyediakan beberapa dokumen sokongan sebelum membuat tuntutan pusaka. Dokumen-dokumen ini perlu dihantar bersama Borang A yang boleh didapatkan di pejabat pusaka kecil.

Dokumen-dokumen sokongan yang dimaksudkan adalah:
  • Bukti kematian si mati. Sama ada laporan dari hospital atau balai polis.
  • Segala dokumen yang berkaitan dengan harta-harta si mati. Termasuklah, geran tanah, geran kereta, dokumen S&P, penyata akaun dan yang berkaitan.
  • Dokumen-dokumen yang mengesahkan perkaitan antara waris dan si mati. Contohnya seperti sijil nikah, surat beranak dan dokumen yang berkaitan.

Pastikan semua dokumen sokongan ini dikumpulkan baru buat permohonan. Ini kerana seringkali terjadi apabila waris tidak kumpulkan semua dokumen berkaitan harta si mati. Selepas permohonan dibuat baru teringat ada satu akaun bank arwah yang tidak disenaraikan sekali. Kesannya? Perlu mula semula proses urus pusaka kecil ini. Kena tunggu tuntutan harta pusaka yang telah dibuat selesai, kemudian, boleh buat tuntutan atas harta lain tadi.

  1. Tunggu Empat Ke Enam Bulan Untuk Permohonan Diproses

Selepas lengkap semua dokumen dan borang yang diperlukan, maka permohonan boleh terus dihantar ke pejabat yang paling hampir dengan kedudukan harta tanah si mati.

Permohonan yang dihantar akan dinilai sama ada benarkah nilai harta pusaka si mati di bawah RM2juta. Jika ya, maka pejabat pusaka kecil akan terus uruskan permohonan tersebut dan jika lebih, maka permohonan akan dibawa ke Mahkama Tinggi.

Permohonan kita juga akan disemak semula jika pernah ada waris sebelumnya yang pernah membuat permohonan tuntutan harta pusaka yang sama. Proses ini biasanya ambil masa yang agak lama; 4 ke 6 bulan sebelum mendapat surat perbicaraan kuasa.

Tempoh ini jangan dibiarkan berlalu saja. Gunakan tempoh ini untuk berbincang dengan semua waris yang berhak ke atas harta pusaka tersebut. Bagaimana nak agihkan pusaka si mati. Ikut faraid, menang-menang atau mungkin ada waris yang memberikan haknya kepada waris lain.

  1. Perbicaraan Pusaka Di Pejabat Pusaka Kecil

Semasa perbicaraan, semua waris perlu hadir. Ketika inilah kaedah pembahagian pusaka akan dimuktamadkan. Sebab itu penting tempoh 4 ke 6 bulan menunggu surat tersebut waris perlu mencapai kata sepakat.

Bagi waris yang tidak dapat hadir semasa perbicaraan, boleh mewakilkan waris yang dapat hadir dengan mengisi borang DDA.

Penting semasa proses perbicaraan ini berlangsung untuk semua waris bersepakat dengan kaedah pembahagian pusaka. Kerana jika tidak, proses akan menjadi panjang dan kemungkinan besar perbicaraan perlu diulang semula.

  1. Menunggu Surat Perintah Pembahagian

Selepas selesai perbicaraan, waris perlu selesaikan fi pentadbiran kepada pejabat pusaka dan dalam tempoh 14 hari pejabat pusaka akan mengeluarkan surat perintah pembahagian.

Kadar fi pentadbiran paling tinggi adalah 0.2% daripada nilai seluruh harta pusaka yang dituntut.

  1. Mencairkan Aset

Hanya selepas mendapat surat perintah pembahagian, barulah waris boleh pergi ke pejabat tanah untuk uruskan pindahmilik nama rumah si mati kepada waris yang masih hidup. Begitu juga prosesnya dengan harta pusaka yang lain.

Jika ada harta tak alih seperti tunai di bank, dengan surat perintah pembahagianlah baru waris boleh mengeluarkan duit tersebut.

Kesimpulan

Proses permohonan tuntutan pusaka kecil tidaklah rumit seperti tuntutan pusaka besar yang melibatkan Mahkamah Tinggi Sivil. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak biasa dengan istilah, borang-borang dan pengurusan harta pusaka secara umum, mungkin akan melihat proses ini adalah sukar dan memenatkan.

Untuk itu, disarankan bagi mereka yang tiada pengalaman mengurus pusaka, supaya meminta bantuan khidmat urus pusaka daripada mereka yang lebih arif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan