Isnin, Mei 25

Perbezaan antara Master, Strata dan Individual Title

Ramai orang lupa pasal title rumah. Mereka terlepas pandang bab title rumah. Jadi bagi yang masih tak tahu, jom kita kenali jenis-jenis title rumah. Sebelum itu, title ni sebenarnya adalah geran. Jadi jangan keliru pulak. Sebutan je lain, tapi maksudnya sama.

Master Title

Title jenis ini adalah geran induk yang diletakkan di atas nama pemaju. Jika rumah kita masih lagi berstatus master title, bermakna status rumah kita masih belum dipecahkan mengikut lot-lot.

Setiap projek akan diletakkan di atas nama pemaju tetapi perlu ditukar kepada nama pemilik lot apabila rumah tersebut telah siap.

Strata Title

Title jenis ini adalah bagi kediaman bertingkat-tingkat seperti apartmen dan kondo. Dengan strata title, kita telah disahkan sebagai pemilik lot di sesebuah apartment. Dalam strata, lot adalah unit di mana pemiliknya adalah berbeza.

Tetapi bagi rumah berstatus strata, mereka mempunyai harta bersama seperti taman permainan, kolam renang, perpustakaan, dan lain-lain. Apabila rumah telah berstatus strata, perbadanan pengurusan boleh ditubuhkan yang terdiri daripada pemilik-pemilik unit bagi menyelenggara harta bersama di dalam sesebuah apartmen atau kondo tadi.

Setiap pemilik unit pula akan dikenakan yuran penyelenggaraan bagi kos bayaran pengawal keselamatan, penjagaan kolam renang, bayaran pembersihan, dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan harta bersama.

Mengikut akta strata, pemilik unit yang gagal menjelaskan yuran penyelenggaraan, barangan boleh alih mereka boleh disita setelah melalui beberapa proses peringatan.

Individual Title

Title jenis ini pula adalah bagi rumah yang mempunyai tanah seperti rumah teres. Persatuan penduduk boleh ditubuhkan atas semangat kejiranan tetapi persatuan tiada hak untuk memaksa pemilik rumah membuat sebarang bayaran yuran kerana ianya adalah hak milik individu.

Kadang-kadang ada sesetengah kawasan perumahan yang mengupah pengawal keselamatan di atas inisiatif mereka sendiri, dan akan membuat kutipan yuran bagi bayaran perkhidmatan kepada pengawal keselamatan tersebut. Mungkin ada segelintir penduduk yang enggan membuat bayaran tersebut, jadi persatuan penduduk tiada hak untuk memaksa atau menyita barangan pemilik rumah.

Sebagai perbandingan, boleh rujuk jadual di bawah:

cukai pendapatan - master, strata dan individual title

Terdapat 2 kesan jika kita tidak menukar title dari master ke individual atau strata title seperti berikut:
  1. Rumah Adalah Sukar Untuk Dijual
Bagi rumah yang masih berstatus master title dan berusia lebih daripada 10 tahun, kebanyakan bank agak sukar untuk memberikan pembiayaan perumahan. Apabila tidak mendapat pembiayaan, ianya akan mengakibatkan rumah tersebut agak sukar untuk dijual.

Ini adalah bagi kes pemilik rumah yang ingin menjual rumah mereka kepada pembeli lain. Kadang-kadang pembeli juga perlu menitikberatkan penukaran title ini kerana penukaran master ke strata/individual title memerlukan kos duti setem dan peguam.

Jadi jika mereka inigin membeli rumah yang masih berstatus master title, mereka pula perlu mengeluarkan kos tambahan untuk penukaran title tersebut.
  1. Merumitkan Proses Urusniaga
Jika kita merancang membuat pembelian hartanah sebagai pelaburan tetapi tidak menukar title kepada individual atau strata, urusniaga jualan boleh menjadi kompleks, akan mengambil masa yang lebih lama, dan bakal menelan kos yang lebih tinggi.

Sebagai contoh jika pemaju telah muflis, kita perlu melalui proses undang-undang untuk membuat pengesahan hak milik. Ini menyebabkan kita terpaksa menanggung kos tambahan bagi melalui proses undang-undang tersebut.

Tempoh masa untuk mendapatkan duit daripada hasil jualan hartanah pula mungkin memakan sedikit masa. Ini kerana kita perlu menyelesaikan proses hak milik dan menyebabkan kita rugi masa dan kewangan.

Kesimpulannya jika kita merancang untuk membuat pembelian rumah, pastikan kita tahu status hak milik hartanah tersebut. Ini amat penting kerana ia akan memberikan implikasi kepada kos, tenaga, dan masa yang kita laburkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan