Khamis, Mei 28

Masalah Yang Timbul Akibat Lewat Membahagikan Harta Pusaka

Setiap dari kita pasti pernah berjumpa seseorang yang mempunyai masalah urus pusaka. Bahkan ada yang telah meninggal berpuluh tahun masih tidak diuruskan harta pusakanya.

Apa kata kita tengok 5 masalah yang akan timbul sekiranya kita sengaja melambat-lambatkan urusan ini.
  1. Waris Terambil Atau Terguna Harta Pusaka Secara Batil
Kesan buruk yang pertama sekali terjadi jika pusaka tidak diagihkan segera, adalah pasti ada waris yang guna sebahagian dari pusaka tersebut secara tak sah. Bagi memudahkan kefahaman tentang mengambil harta secara batil, saya datangkan sebuah cerita.

Yusuf telah mati dan meninggalkan 5 orang anak. Rumah pusaka Yusuf tidak diuruskan pemindahan hak milik dan dibiarkan saja nama Yusuf di atas geran tersebut kerana tiada seorang pun yang ingin tinggal di situ.

Akhirnya mereka bersepakat untuk menyewakan rumah pusaka ayah mereka; semua duit sewa diberikan kepada masjid yang terletak tidak jauh dari rumah tersebut. Adam, si adik bongsu yang tinggal tidak jauh dari rumah pusaka tersebut diamanahkan untuk menguruskan rumah tersebut.

Tiga bulan, Adam masih menguruskan rumah pusaka bapanya dengan amanah, memasukkan duit dari sewa ke dalam tabung masjid. Tetapi setelah beberapa bulan, Adam mula merasakan dirinya berhak mengambil sebahagian duit sewa tersebut kerana dia yang menguruskannya.

Lalu sebahagian duit sewa diambil Adam tanpa pengetahuan adik beradik yang lain.

Inilah yang dimaksudkan dengan guna harta pusaka secara tak sah. Kesan daripada kelima-lima beradik yang tidak mahu menguruskan rumah pusaka bapa mereka secara tertib.
  1. Hutang Si Mati Tidak Dapat Dibayar
Dalam urutan menguruskan pusaka si mati, melunaskan hutang si mati adalah antara keutamaan utama untuk waris lakukan. Allah tekankan keutamaan melunaskan hutang orang yang mati dalam ayat 11 dan 12 Surah An-Nisa.

Dalam dua ayat ini, 4 kali Allah tegaskan supaya waris mesti melunaskan hutang si mati sebelum membahagikan harta pusaka mengikut faraid. Diulang 4 kali dalam ayat yang sama adalah sebagai satu bentuk perintah yang tegas agar dilaksanakan oleh waris.
  1. Bertambah Bilangan Waris Yang Berhak Terima Pusaka
Jika lambat diuruskan harta pusaka, semakin ramai waris yang berhak menerima pusaka si mati.

Sebagai contoh, apabila Daud meninggal dunia, warisnya yang berhak menerima pusaka adalah dua orang anak; Zakaria dan Ishak serta isterinya. Jadi hanya tiga orang waris sahaja yang berhak menerima harta pusaka Daud.

Tetapi akibat sikap tak kisah waris-waris Daud, mereka tidak menguruskan harta pusakanya. Dari tahun ke tahun, Zakaria dan Ishak masing-masing telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri.

Ditakdirkan, Zakaria meninggal dunia; meninggalkan seorang balu dan dua orang anak lelaki. Maka ketika ini, waris yang berhak menerima harta pusaka Daud daripada tiga orang, menjadi empat orang. Anak-anak Zakaria juga menjadi waris yang berhak menerima harta pusaka atuknya selepas bapa mereka meninggal dunia.

Pertambahan waris ini akan menyulitkan lagi urusan pusaka Daud.
  1. Kehilangan atau Kemusnahan Dokumen Pusaka
Semakin lama tidak diuruskan pusaka, proses urusan akan menjadi semakin sukar. Terutamanya apabila melibatkan dokumen pusaka dan dokumen pengesahan waris.

Kebanyakan dokumen adalah dalam bentuk hard copy, kertas yang mana terdedah kepada kerosakan dan hilang. Cuba bayangkan bagaimana rupa geran tanah yang berusia puluhan tahun.

Kalau tak hilang sekali pun, agak-agak bagaimana rupanya geran tersebut?

Begitu juga halnya dengan dokumen-dokumen pengesahan waris. Berkaitan dengan masalah ketiga di atas, waris bertambah ramai. Sudah tentu sukar untuk mengumpulkan semua waris dalam satu masa dan tempat untuk membincangkan perihal harta pusaka.

Akhirnya, apa yang dikhuatiri, ada waris yang membuat pengesahan palsu semata-mata nak memudahkan urusan dan mengabaikan waris lain daripada mendapat bahagian pusaka.
  1. Perbalahan Yang Berpanjangan
Inilah masalah yang tidak berkesudahan melibatkan pengurusan pusaka. Ditambah pula dengan waris yang bertambah ramai, masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain, tiada rasa kasih sayang di antara mereka, semua hanya menuntut hak masing-masing. Akhirnya bergaduh tak sudah dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Kesimpulan

Kita maklum, nilai harta pusaka yang masih tidak diuruskan hari ini mencecah RM70 billion dan angka ini akan terus meningkat naik. Betapa besar kerugian khususnya umat Islam apabila aset harta pusaka ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Hasil daripada pemerhatian saya, kebanyakan waris yang melambat-lambat pengurusan pusaka ini adalah kerana merasa tiada keperluan. Rumah pusaka si mati masih boleh terus diduduki, tanah kebun masih boleh terus diraih tanamannya dan rumah sewa boleh terus dimanfaatkan. Jadi buat apa nak bersusah payah pergi pejabat tanah nak tukar nama geran rumah dan tanah? Kena keluar duit pula kalau nak setelkannya.

Perkara lain yang melambatkan urusan ini adalah disebabkan waris tiada wang tunai yang mencukupi untuk menguruskannya. Difahami, urusan pusaka bukanlah percuma. Semakin besar nilai pusaka yang ditinggalkan, makin banyaklah tunai yang diperlukan untuk menguruskannya.

Oleh itu, buatlah perancangan harta dengan teratur dan pastikan hutang-hutang kita dilunaskan semuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan