Pepsi dan Coca-Cola merupakan dua syarikat minuman yang sangat berjaya di peringkat antarabangsa. Dua syarikat ini saling bersaing di antara satu sama lain bagi mendominasi pasaran antarabangsa.
Antara iklan yang paling popular pernah dibuat oleh Pepsi adalah pada tahun 1980-an yang digelar sebagai Pepsi Challenge. Ianya telah berjaya menghancurkan dominasi Coca-Cola di Amerika Syarikat.
Coca-Cola akhirnya terpaksa mencipta minuman Coke yang baru yang digelar sebagai “New Coke” untuk bersaing dengan Pepsi namun ianya telah gagal di pasaran.
Dengan kejayaan yang dimiliki oleh Pepsi, mereka telah memulakan langkah untuk mendominasi pasaran minuman ringan di serata dunia. Di antara negara yang menjadi sasaran syarikat tersebut adalah Filipina yang mana dominasi Coca Cola di negara tersebut sungguh luar biasa.
Coca-Cola mendominasi hampir 75% pasaran di Filipina sedangkan Pepsi hanya menguasai sebanyak 17% sahaja. Perkara ini membuatkan Pepsi ingin mengambil alih dominasi di pasaran di negara tersebut.
Apakah Teknik Pemasaran Ini?
Filipina merupakan sebuah negara Asia Tengara yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Amerika Syarikat. Negara tersebut mendapat bantuan kewangan dari Amerika Syarikat sejak berdekad lamanya dan budaya yang ada di Amerika Syarikat mudah diterima oleh rakyat Filipina.
Pepsi melihat Filipina merupakan pasaran yang penting bagi mereka. Untuk menewaskan pasaran Coca-Cola, Pepsi telah membuat satu teknik pemasaran yang luar biasa di negara tersebut.
Pepsi menjalankan teknik pemasaran yang diberi nama sebagai Number Fever. Ianya adalah seperti permainan loteri yang mana sesiapa sahaja berhak untuk menyertai pertandingan ini dengan hanya membeli minuman Pepsi.
Pertandingan ini bermula pada awal tahun 1992. Ada nombor di sebalik penutup minuman dan setiap pemenang akan diumumkan melalui televisyen tempatan.
Sembutan yang diterima selepas Number Fever ini telah mencetuskan fenomena terhadap Pepsi di pasaran Filipina. Dengan penawaran hadiah sebanyak 100 Pesos bagi setiap pemenang, ia telah merancakkan lagi kempen pemasaran di negara tersebut.
Pada ketika itu, kebanyakan rakyat Filipina hidup di dalam kemiskinan. Dengan penawaran hadiah sebanyak 100 Pesos, ia adalah jumlah yang besar kepada rakyat Filipina.
Dalam tempoh dua bulan sahaja, jualan Pepsi telah meningkat sebnayak 40%. Oleh yang demikian, Pepsi mengambil keputusan yang drastik dengan menaikkan jumlah tawaran menjadi 1 juta peso dan memanjangkan lagi tempoh pertandingan ini.
Ianya akan menjadikan pemenang pertandingan itu sebagai seorang jutawan. Hampir separuh rakyat Filipina menyertai pertandingan tersebut dengan harapan mereka akan berjaya menjadi jutawan dengan segera.
Bagaimana Krisis Ini Berlaku?
Krisis ini bermula pada bulan Mei tahun yang sama apabila nombor 349 diisytiharkan sebagai nombor pemenang. Malangnya, terdapat 80,000 peserta yang memiliki nombor tersebut.
Ini berlaku apabila kesilapan komputer yang mencetak nombor tersebut di setiap botol minuman keluaran mereka. Ini menyebabkan rakyat Filipina yang mendapat nombor tersebut menuntut hak mereka dengan Pepsi.
Oleh kerana tuntutan itu terlalu besar, Pepsi telah membuat satu penyelesaian kepada mereka yang memegang nombor 349 dengan hadiah sebanyak USD18.
Sebahagian daripada peserta menerima tawaran tersebut dan sebahagian menolak kerana mereka berkeras mahukan 1 juta peso yang dijanjikan.
Peserta yang tidak menerima tawaran tersebut membuat protes terhadap Pepsi. Pada mulanya, demonstrasi diadakan secara aman namun bertukar menjadi ganas apabila penduduk mula menyerang trak yang membawa minuman tersebut.
Sebanyak 32 buah trak Pepsi telah dibakar oleh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati. Kejadian tersebut telah membunuh 5 nyawa termasuk seorang kanak-kanak yang meninggal dunia disebabkan terkena Molotov Cocktail.
Kesan Kepada Jenama Pepsi Di Filipina
Pepsi yang sepatutnya membuat keuntungan daripada kempen pemasaran tersebut telah mengalami kerugian. Syarikat tersebut yang menyediakan wang kepada pemenang sebanyak USD2 juta akhirnya terpaksa mengeluarkan wang sebanyak USD10 juta bagi menyelesaikan isu tesebut.
Selepas kejadian ini, pandangan rakyat Filipina terhadap Pepsi adalah begitu teruk sekali dan Coca-Cola telah mengambil semula takhta. Kes ini mengambil masa 14 tahun untuk diselesaikan apabila mahkamah Filipina menutup kes tersebut pada tahun 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan