Ahad, Januari 24

Kejayaan Lego, Syarikat Permainan Terkenal di Dunia

Mungkin ramai yang menyangka Lego ini adalah syarikat yang berasal dari Amerika Syarikat memandangkan jenama mereka begitu kukuh sekali.

Sangakaan itu meleset kerana Lego bukanlah sebuah syarikat yang berasal dari Amerika Syarikat sebaliknya berasal dari Denmark. Hari ini kita melihat Lego memasuki senarai 100 syarikat yang mempunyai kekuatan jenama di peringkat global.

Perjalanan Lego untuk mengecapi apa yang mereka dapat ini tidaklah semudah yang disangka dan dipenuhi oleh onak dan duri. Syarikat ini diasaskan oleh Ole Kirk Kristiansen pada tahun 1932. Perkataan Lego yang diambil “leg godt” bermaksud play well di dalam bahasa Denmark.

Perniagaan syarikat perkayuannya sebelum itu tidak berjalan dengan baik dan memaksa dia memberhentikan kesemua pekerjanya sebelum menubuhkan Lego.

Pada tahun tersebut juga, isterinya telah meninggal dunia dan menambahkan lagi penderitaan yang dialami oleh Ole Kirk Kristiansen. Walaupun berdepan dengan ujian yang berat, ianya tidak mematahkan semangat Ole Kirk Kristiansen untuk berjaya. Beliau yang tidak mengenal putus asa telah mencipta satu permainan yang berasaskan kayu.

Dia yang pada mulanya mencipta permainan itu untuk mengubati duka lara empat orang anaknya yang kehilangan ibu mereka. Ternyata, permainan yang dicipta oleh Ole Kirk Kristiansen itu telah menarik minat anaknya. Beliau mendapat idea untuk membuat permainan dari kayu dan menjualnya kepada orang ramai.

Beliau kemudiannya berdepan dengan masalah kerana walaupun mempunyai kemahiran yang tinggi terhadap ilmu pertukangan, Ole Kirk Kristiansen tidak mempunyai ilmu pemasaran untuk menjual produknya. Disebabkan itu, beliau tidak dapat menjual produk Legonya dengan begitu baik.

Nasib menyebelahi dirinya kerana anak lelakinya telah membantunya untuk menjual permainan yang dibuatnya. Dari tahun ke tahun, perniagaanya semakin berkembang.

Ketika Perang Dunia Kedua berlaku, kilangnya hangus dijilat api untuk kali kedua. Ini tidak sedikit pun mematahkan semangat Ole Kirk Kristiansen untuk bangkit daripada membina kejayaan untuk syarikattnya.

Pada tahun 1949, syarikat ini telah merubah bentuk permainan mereka yang sebelum ini berasaskan kayu kepada plastik. Sambutan yang diterima oleh syarikat ini sangat luar biasa. Bongkah plastik yang diperkenalkan oleh Lego telah berjaya menarik minat ibu bapa dan kanak-kanak.

Permainan Lego ini telah menjadikan kanak-kanak mempunyai kreativiti yang tinggi dan kini ianya telah diterima hampir di seluruh dunia yang menjadikan Lego sebuah syarikat yang bertaraf antarabangsa.

Pada era 1990-an, syarikat ini mengalami zaman kejatuhan sehinggalah kepada pertengahan awal milenium, Lego hampir diisytiharkan muflis tetapi berjaya diselamatkan oleh CEO yang baru, Jørgen Vig Knudstorp. Beliau yang merubah model perniagaan Lego dengan memfokuskan kepada barangan yang laris dan senang untuk dijual.

Akhirnya perubahan yang dilakukannya itu berhasil dan mereka turut bekerjasama dengan syarikat perfileman Hollywood untuk membawa watak Lego ke layar perak. Hasilnya, saham syarikat ini telah meningkat dengan begitu ketara sekali pada pertengahan dekad yang lepas.

Selain itu juga, model-model Lego yang berdasarkan watak filem yang box office dijual pada harga yang sangat tinggi selepas pasaran. Ada sesetengah peminat permanan ini membuat pelaburan dan hasil pulangan yang diperolehi sangat lumayan.

Pulangan yang diperolehi oleh mereka yang melabur di dalam Lego ini berjaya memberi pulangan sebanyak 11% setiap tahun.

Walaupun berdepan dengan krisis pandemik, syarikat ini masih lagi bertahan dan jualan semakin memberangsangkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Ianya telah menjadikan Lego semakin popular di kalangan orang ramai tanpa mengira usia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan