Selasa, Ogos 4

Perbezaan Wakaf dan Wasiat

Wasiat adalah ikrar seseorang yang dibuat pada masa hayat ke atas hartanya untuk disempurnakan selepas kematiannya bagi maksud kebajikan yang dibenarkan menurut hukum syarak. Manakala maksud wakaf pula ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah.

Berikut adalah beberapa perbezaan yang jelas antara waqaf dan wasiat.
  1. Kewujudan Lafaz Ijab Dan Qabul
Seperti akad jual beli, akad hibah dan beberapa akad lain, pelaksanaan syariat waqaf memerlukan kepada lafaz akad ijab dan qabul.
  • Lafaz Ijab oleh pemberi waqaf (pemilik asal harta)
  • Lafaz Qabul oleh penerima waqaf (contohnya Majlis Agama Islam Negeri)
Sebagai contoh mengikut undang-undang waqaf di Selangor, semua tanah waqaf hendaklah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Maka jika ada yang hendak mewaqafkan sebidang tanah maka, orang tersebut perlu berurusan dengan MAIS. Dia perlu melafazkan Ijab, dan MAIS akan melafazkan Qabul (terima).

Berbeza pula dengan wasiat. Hanya pemberi wasiat sahaja yang membuat dokumen perisytiharan wasiat yang berfungsi sebagai akad ijab tetapi tiada lafaz qabul daripada penerima lagi. Kerana wasiat hanya terlaksana selepas pembuat wasiat mati.
  1. Waktu Berlaku Perpindahan Pemilik Harta
Bagi mereka yang mewaqafkan hartanya, perpindahan pemilikan harta tersebut berlaku serta merta. Maknanya jika anda waqafkan tanah untuk dibina rumah anak yatim sebagai contoh, dokumen pindahmilik (Borang 14A Kanun Tanah Negara 1965) antara anda dan MAIS (jika di buat di Selangor) perlu disediakan bersekali semasa proses waqaf dibuat.

Setelah selesai proses waqaf dan pindahmilik tanah tersebut, maka tanah itu bukan lagi milik orang yang mewakaf.

Jika MAIS terus mengusahakan tanah tersebut untuk pembangunan rumah anak yatim, maka orang yang mewaqafkan boleh terus tersenyum gembira kerana hasrat waqafnya telah dapat dilaksanakan. Pahala pun terus mengalir.

Tetapi bagi wasiat, disebabkan tiada lafaz qabul daripada mana-mana pihak, maka harta yang ingin diberikan tersebut masih menjadi milik orang yang mewasiatkan. Walaupun semasa hidup si mati ada berwasiat kepada anak-anaknya supaya sebidang tanah diwaqafkan, tetapi selepas si mati meninggal dunia, tidak tentu lagi hasrat waqafnya itu dapat dilaksanakan waris. Contohnya mungkin nilai tanah yang diwasiatkan itu lebih daripada 1/3 jadi waris berhak mencabar wasiat tersebut.
  1. Pembatalan
Waqaf, apabila telah terlaksana tidak boleh ditarik balik. Kerana telah berlaku pertukaran pemilik kepada harta tersebut.

Manakala wasiat, boleh dibatalkan atau ditukar oleh pembuat wasiat sekiranya dirasakan perlu. Ini kerana semasa membuat wasiat, hanya dokumen perisytiharan wasiat sahaja yang disediakan, tiada pindahmilik harta yang berlaku.

Kesimpulan

Kedua-dua instrument waqaf dan wasiat mempunyai fungsi yang berbeza. Jika anda memang berhajat untuk mewaqafkan harta, terus lakukannya semasa hidup dengan menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan. Tak perlu tunggu dan meninggal dunia baru  berwaqaf. Tetapi jika memang hasrat anda hendak berwasiat, maka boleh terus dengan hasrat untuk membuat wasiat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan