Dengar sahaja cukai, ramai dah mula takut. Ada juga yang masih keliru sama ada declare cukai atau tidak. Pertama sekali, apa yang perlu kita faham adalah, declare pendapatan dan membayar cukai adalah dua perkara berbeza.
Bahasa mudahnya, semua orang yang declare (membuat pernyataan) pendapatan tidak semestinya perlu membayar cukai. Begitulah, ramai yang salah faham dalam banyak perkara bila berkaitan cukai pendapatan.
Jom kita lihat mitos-mitos ini dan apakah ianya benar ataupun tidak.
1. Betul Ke LHDN “Kejar” Individu Yang Membeli Rumah Dan Kereta Secara Tunai?
Selalu kita dengar mereka yang membeli rumah dan kereta secara cash akan diberi perhatian istimewa oleh LHDNM. Namun, sebenarnya ianya adalah tidak benar.
Sesiapa sahaja boleh membeli rumah ataupun kereta secara tunai. Tiada masalah selagi mereka melaporkan pendapatan mereka kepada LHDNM.
2. Benarkah Perniagaan Rugi Tak Perlu Declare Cukai?
Perkara ini merupakan antara perkara yang sering ahli perniagaan dengar. Kalau dah rugi dalam perniagaan, kenapa perlu lapor lagi. Sebenarnya perkara ini sama sekali tidak benar. Ahli perniagaan masih perlu declare pendapatan mereka dengan menghantar borang-borang yang berkenaan.
Walaupun mungkin mereka tidak akan perlu membayar cukai, namun mereka masih perlu declare pendapatan dan perbelanjaan perniagaan. Jumlah kerugian ini boleh dibawa ke tahun taksiran hadapan. Jadi, declare pendapatan walaupun bisnes anda berada dalam kerugian.
3. Bisnes Kecil-Kecilan Tak Perlu Hantar Borang Cukai?
Bagi segala jenis perniagaan yang dilakukan, mereka perlu menghantar borang cukai kepada LHDNM. Cukai perniagaan tidak sama seperti cukai pendapatan individu yang menetapkan minimum pendapatan untuk declare cukai.
Jika anda pemilik bisnes atau perniagaan kecil-kecilan, anda perlu declare cukai setiap tahun mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Untung rugi perlu dilaporkan kepada LHDNM. Perniagaan online secara kecil-kecilan tanpa kedai fizikal, hanya berada di rumah dan dengan menggunakan smartphone sahaja juga perlu declare cukai.
4. Perlu Simpan Resit Berkaitan Cukai Sehingga 7 Tahun. Kenapa?
Benar, anda perlu menyimpan resit berkaitan cukai sehingga 7 tahun. Ramai yang tertanya-tanya kenapa perlu sehingga 7 tahun?
Resit ini perlu disimpan untuk tujuan semakan dan audit sekiranya diperlukan. Ada peruntukan dalam undang-undang berkenaan dengan perkara ini.
Bagi mengelakkan daripada resit-resit tersebut hilang atau dakwat yang kabur, kita boleh mengambil gambar atau scan resit tersebut dan simpan dalam satu folder khas. Lebih baik jika disimpan secara online seperti di Google Drive atau iCloud.
Jika pihak LHDNM meminta resit tersebut, anda boleh memberikan resit yang disimpan secara digital atau softcopy.
5. Pendapatan Luar Negara Yang Diperoleh Daripada Keuntungan eBay, Saham Global Dan Kripto Dikecualikan Cukai?
Secara amnya, mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan pendapatan yang sudah dihasilkan tetapi belum diterima sehingga akhir tempoh perakaunan sama ada diperolehi dari Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar Malaysia adalah dikenakan cukai.
Layanan cukai terhadap pendapatan yang dijana melalui aset digital, saham dan matawang asing adalah sama dengan layanan cukai terhadap pendapatan yang dijana melalui kaedah perniagaan konvensional.
Namun begitu, untuk menentukan keuntungan kepada sesuatu pendapatan jenis ini untuk dikenakan cukai atau tidak perlu diperhalusi kes demi kes sama ada wujudnya corak perdagangan.
Sekiranya keuntungan tersebut bersifat keuntungan modal dan pasif (dilakukan sekali-sekala, tidak terancang, tidak bersistematik), keuntungan daripada urusniaga tersebut tidak dikenakan cukai.
Namun, berbeza pula dengan urusniaga yang ada corak pemerdagangan dan aktif (sistematik, berulang-ulang), pihak tersebut akan dianggap menjalankan urusniaga dan keuntungan yang dijana akan dikenakan cukai. Individu yang tergolong dalam golongan ini perlu mengemukakan Borang B pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun dan boleh mengambil kira semua kos perbelanjaan yang terlibat dalam urusniaga tersebut.
Bagi urusniaga jenis ini, nilai urusniaga perlu ditukar kepada wang tempatan iaitu Ringgit Malaysia. Bagi urusniaga aset digital kripto, nilai yang boleh digunakan adalah nilai pasaran barangan dan perkhidmatan yang terlibat atau sekiranya tiada nilai pasaran, nilai yang dinyatakan dalam platform (yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan tertera pada laman web Bank Negara Malaysia).
Kesimpulan
Sebenarnya, mitos-mitos ini kebanyakannya adalah tidak benar. Apa yang penting, kita perlu bertanggungjawab untuk melaporkan pendapatan dengan LHDNM.
Sekiranya kita adalah pekerja yang bergaji melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) setahun atau pemilik perniagaan (tiada pendapatan minimum ditetapkan), kita perlu mendaftarkan fail cukai pendapatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan