Rabu, Oktober 13

Apa Nak Buat Jika Pemilik Bersama Tak Setuju Untuk Pecah Bahagi Tanah?

Ismael merupakan anak sulung kepada empat orang adik-beradik dan mempunyai sebidang tanah yang dikongsi bersama. Selama ini tanah itu hanyalah tanah terbiar dan tiada apa-apa hasil yang boleh dijadikan sumber kewangan.

Dan pada suatu hari, adik bongsu Ismael berhasrat untuk memecah tanah kepada bahagian masing-masing kerana dia ingin menjual bahagiannya. Ismael dan adik kedua menentang hasrat si adik bongsu ini. Adik yang ketiga tidak menyuarakan apa-apa tentangan.

Disebabkan tidak mendapat persetujuan semua orang, maka berlakulah pergaduhan di antara adik-beradik. So, macam mana cara yang terbaik untuk settle-kan masalah ni?

Apa yang adik bongsu Ismael boleh lakukan untuk pecah bahagian tanah tersebut?

Antara masalah yang biasa timbul apabila seseorang pemilik bersama tanah pertanian geran kongsi ingin membuat pecah bahagian tanah tersebut adalah tiadanya persetujuan daripada kesemua pemilik bersama yang lain.

Sekiranya ini berlaku, apakah yang patut dilakukan?

Sebenarnya S.141A Kanun Tanah Negara membenarkan mana-mana pemilik bersama sesuatu tanah pertanian geran kongsi memohon untuk kelulusan pecah bahagian, walaupun pemilik-pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagaian atau terdapat pemilik bersama yang tidak dapat dikesan atau sebagainya.

Sebaik sahaja menerima permohonan pecah bahagian tadi, pentadbir tanah akan menghantar notis kepada kesemua pemilik bersama yang lain ke alamat terakhir yang diketahui untuk memaklumkan tentang cadangan pecah bahagian oleh salah seorang pemilik bersama tersebut.

Pemilik bersama yang lain dikehendaki mengemukakan apa-apa bantahan secara bertulis dalam tempoh 28 hari daripada tarikh penyampaian notis tersebut sekiranya tidak bersetuju dengan permohonan pecah bahagian salah seorang pemilik bersama tadi.

Setelah habis tempoh 28 hari tersebut, sekiranya terdapat bantahan daripada pemilik-pemilik bersama yang lain, Pentadbir Tanah boleh membuat keputusan untuk menolak permohonan pecah bahagian tersebut sekiranya beliau berpuas hati dengan alasan-alsan bantahan yang dikemukakan.

Tetapi sekiranya tiada bantahan, Pentadbir Tanah boleh meluluskan permohonan pecah bahagian tersebut.

Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, segala kos untuk urusan pecah bahagian hendaklah ditanggung oleh pemohon itu sendiri.

Sekiranya pemohon tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Pentadbir Tanah, mereka boleh memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mengarahkan permohonan pecah bahagia tersebut diluluskan.

Mahkamah juga boleh mengarahkan bahagaian yang tidak dipecah bahagi tersebut di pindah milik kepada pemilik bersama atau mengarahkannya dijual.

Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah akan mengikat Pentadbir Tanah untuk melaksanakannya di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara.

Kesimpulannya, jangan risau sekiranya pemilik bersama yang lain tidak bersetuju untuk buat pecah bahagian kerana anda masih boleh melakukannya walaupun tanpa persetujuan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan