Sebanyak 29,277 unit rumah (residential property overhang) tidak terjual dalam tempoh enam bulan pertama 2018. Nilai keseluruhan mencatatkan RM17.24 bilion. ‘Property overhang’ bermaksud ‘completed units that remain unsold after nine months or more’.
Data yang diterbitkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta semalam menunjukkan angka tersebut adalah paling tinggi jika dibandingkan dari tahun 2015 hingga 2017.
Pada tahun 2015, jumlah rumah yang tidak terjual ialah 10,163 unit. Jumlah tersebut terus meningkat kepada 14,792 unit pada tahun 2016 dan 24,738 unit pada tahun 2017. Tiga negeri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu Johor (5,988 unit), Selangor (4,694 unit) dan Pulau Pinang (3,958 unit). Sekiranya dikategorikan mengikut harga, sebanyak 17,883 (61%) unit rumah yang tidak terjual dalam lingkungan harga dari RM50,000 hingga RM500,000.
Sepanjang enam bulan pertama 2018, sebanyak 149,899 (RM67.74 bilion) transaksi telah direkodkan, menurun 2.4% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017. Jumlah pinjaman/pembiayaan yang dipohon bagi pembelian rumah turun 3.1%, dan jumlah pinjaman/pembiayaan yang diluluskan juga turun 0.2%.
Menurut Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Badrul Hisham Awang, prestasi pasaran akan kembali pulih untuk enam bulan kedua 2018 kerana disokong oleh sentimen pengguna dan persekitaran yang lebih baik.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memuktamadkan untuk menyatukan lima agensi berkaitan perumahan di bawah satu entiti yang dikenali sebagai Majlis Perumahan Mampu Milik Negara. Ia bertujuan untuk menyelaras dan mengkoordinasi projek-projek perumahan rakyat dengan lebih sistematik.
Lima agensi tersebut adalah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Uda Holdings Bhd, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan