Sabtu, Julai 11

Suami Meninggal Dunia, Apa Isteri Perlu Buat?

Kehilangan orang yang tersayang adalah merupakan perkara yang amat sedih dan menyakitkan kerana setelah bertahun-bertahun hidup bersama, akhirnya terpaksa berpisah dengan asbab kematian. Walau bagaimanapun, sebagai seorang isteri, anda perlu tahu apa yang mesti dilakukan setelah suami anda meninggal dunia.

Berikut adalah beberapa perkara yang mesti seorang isteri tahu apabila suami meninggal dunia.
  1. Saya ada akses akaun bank arwah suami. Boleh ke saya gunakan untuk meneruskan hidup anak-beranak?
Secara asas, apabila seseorang meninggal dunia, semua harta yang dimiliki akan menjadi pusaka.

Harta pula secara ringkas dapat dibahagikan kepada dua, iaitu:
  • Harta tak alih seperti rumah dan tanah
  • Harta alih seperti duit tunai, akaun bank dan kenderaan
Seperti yang kita telah sedia maklum, selepas seseorang itu meninggal dunia, duit dalam akaun bank si mati akan menjadi beku. Ianya ditahan oleh pihak bank sehingga waris dapat mengemukakan surat-surat berkaitan untuk mengeluarkan duit tersebut.

Tapi proses untuk bank membekukan akaun orang yang mati juga mengambil masa beberapa hari.

Jadi dalam tempoh itu bolehkah si isteri mengeluarkan duit (sebelum dibekukan) untuk kegunaan dirinya sendiri?

Sebelum menjawab persoalan ini, perlu difahami dahulu bagaimanakah cara untuk menguruskan duit tunai si mati tersebut. Gunakan untuk mengurus jenazah, mandi, kafan dan kebumikan. Gunakan untuk melunaskan semua hutang arwah. Hutang dengan Allah seperti nazar atau hutang dengan manusia seperti kad kredit, LHDN, PTPTN dan lain-lain.

Jika ada wasiat yang ditinggalkan, sempurnakan wasiat arwah. Tidak lebih daripada 1/3 harta pusaka. Dibahagikan kepada waris-waris berhak mengikut faraid.

Jadi secara tidak langsung telah menjawab persoalan adakah boleh isteri gunakan tunai yang ditinggalkan si matih untuk dirinya.

Secara umumnya, duit tunai si mati yang dipegang isteri tidak boleh digunakan terus untuk dirinya.

Walaubagaimanapun, si isteri boleh meminta kebenaran dan izin daripada semua waris yang berhak ke atas harta pusaka suami untuk gunakan duit tersebut.

Tetapi yang penting, dua urusan pertama; urus jenazah dan hutang si suami dilunaskan dahulu.

Waris-waris lain yang berhak ke atas harta pusaka suami boleh melepaskan hak mereka kepada ipar mereka (isteri si mati).
  1. Boleh ke saya tuntut nafkah saya dan anak-anak dari pusaka suami?
Seorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Walau bagaimanapun, kewajipan tersebut terhenti sebaik sahaja si suami meninggal dunia.

Tetapi si isteri boleh menuntut hak nafkah yang sepatutnya diberikan suami semasa hidupnya.  Dengan kata lain hak nafkah isteri dan anak adalah hutang suami yang telah meninggal dunia tersebut. Tuntutan nafkah yang tertunggak tersebut boleh dibuat di Mahkamah Syariah.
  1. Suami telah meletakkan saya sebagai penama bagi akaun KWSP, Tabung Haji dan takaful. Boleh saya guna untuk manfaat saya dan anak-anak?
Semak balik jenis penamaan yang dimaksudkan dengan merujuk di pejabat yang berkaitan.

Secara umumnya, terdapat dua jenis penamaan bagi akaun-akaun yang disebutkan di atas.
  • Penamaan wasi atau pemegang amanah
  • Penamaan benefisiari (Hibah)
Sama ada Tabung Haji, KWSP atau pun takaful, ketiga-tiganya memberi pilihan kepada pemilik akaun untuk menamakan warisnya sebagai pemegang amanah atau benefisiari.

*Nota: akaun KWSP tidak boleh dihibahkan (granted).

Jika suami anda meletakkan nama anda sebagai pemegang amanah, maka ia berbalik kepada hukum pusaka seperti yang dibincangkan sebelum ini.

Perkara Yang Mesti Ada Kalau Nak Buat Wasiat Sendiri

Manakala jika suami anda meletakkan nama anda sebegai benefisiari, maka duit daripada akaun tersebut 100% menjadi hak anda.
  1. Boleh ke saya nak dapatkan lebih daripada bahagian faraid yang sepatutnya saya dapat?
Jika mengikut pembahagian faraid, isteri akan mendapat 1/8 daripada pusaka suami jika si mati mempunyai anak dan 1/4 jika tiada anak.

Berbalik kepada persoalan di atas, boleh ke seorang isteri mendapatkan lebih lagi daripada 1/8 atau 1/4 harta pusaka suami?

Jawapannya boleh, ada dua cara:
  • Melalui permohonan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.
  • Melalui rundingan harmoni bersama semua waris memohon pelepasan hak faraid.
Cara yang pertama isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah bagi harta-harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan.

Melalui tuntutan ini, sekiranya berjaya, isteri akan mendapat bahagian daripada Harta Sepencarian bersama suami dan juga dari faraid.

Oleh itu, ya pusaka yang diperoleh isteri lebih banyak berbanding hanya mendapat dari faraid. Tetapi perlu diingat, apabila melibatkan urusan mahkamah, ada kos-kos yang perlu si isteri keluarkan. Dan ianya sudah pasti bukan murah.

Alternatif kepada membuat tuntutan harta sepencarian adalah dengan perbincangan bersama semua waris yang dipimpin oleh seorang kaunselor pakar supaya pembahagian harta pusaka si mati berjalan lancar dan harmanoi.

Kaunselor akan membantu semua waris memahami bahagian-bahagian faraid yang waris berhak terima seterusnya membantu waris untuk mencapai kata sepakat bagaimana harus dibahagikan pusaka tersebut.

Kesimpulan

Sememangnya sukar berhadapan dengan kematian suami lebih-lebih lagi pada hari atau minggu pertama ketiadaannya. Tetapi jangan lupa tentang tanggungjawab kita sebagai waris untuk menguruskan harta pusaka arwah suami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan