Top-up pembiayaan harta tanah merujuk kepada aktiviti memohon pembiayaan tambahan bagi pembiayaan harta tanah pada baki pembiayaan tertunggak berdasarkan nilai pasaran semasa rumah yang dibeli.
Terdapat perbezaan di antara top-up loan dan refinance yang perlu anda tahu. Top-up pembiayaan merupakan pembiayaan yang dipohon daripada bank yang sama dengan pembiayaan harta tanah sedia ada.
Manakala refinance merupakan pembiayaan yang dipohon daripada bank yang berbeza.
Sebagai contoh, anda membeli sebuah apartmen di Cyberjaya dengan nilai semasa RM250,000 pada tahun 2018 daripada bank CIMB. Menjelang tahun 2021, harganya telah meningkat kepada RM310,000.
Apabila anda ingin memohon pembiayaan tambahan RM310,000 daripada Maybank, maka ini dinamakan refinance.
Dan sekiranya anda memohon daripada bank yang sama (CIMB) maka ini dinamakan top-up loan.
Kadar pembiayaan yang diberikan untuk top-up pembiayaan adalah 90% atau 80% mengikut bank dan tidak semua bank yang menawarkan fasiliti top-up ini.
Anda perlu semak betul – betul sebelum membuat permohonan pembiayaan harta tanah dari mana – mana bank.
Lakukan perbandingan secara holistik mengikut objektif anda. Dapatkan khidmat nasihat dari pegawai bank atau pakar kewangan untuk produk bank yang sesuai dengan objektif anda (pelaburan atau diami).
3 Kelebihan Top Up Pembiayaan
1. Lebih Mudah Untuk Diluluskan
Memandangkan anda meminjam dari bank yang sama, mereka mempunyai rekod dan hubungan dengan anda sebagai peminjam.
Jadi, permohonan anda adalah lebih mudah untuk diluluskan dan lebih cepat berbanding proses refinance dengan syarat anda mempunyai rekod bayaran balik yang cantik tanpa tunggakan.
2. Kos Lebih Rendah
Anda tidak perlu mengeluarkan kos guaman untuk proses top-up pembiayaan seperti awal – awal anda memohon pembiayaan harta tanah daripada pihak bank.
Sebaliknya, anda hanya perlu membayar kos duti setem sahaja untuk menyerahkan dokumen permohonan anda.
Untuk tambahan, anda juga tidak dikenakan caj penalti penamatan awal pembiayaan sekiranya anda membuat top-up pembiayaan.
3. Cepat
Kebanyakan pemohon yang melakukan top-up pembiayaan adalah kerana mereka inginkan tunai dengan lebih cepat berbanding proses refinance.
Buat pengetahuan anda, proses refinance memakan masa di antara 3 bulan – 6 bulan lamanya.
Berbeza dengan proses top-up pembiayaan yang memakan masa kurang daripada 3 bulan sahaja untuk anda terima 80% atau 90% dari nilai pasaran semasa rumah anda.
3 Keburukan Top Up Pembiayaan
1. Klausa
Anda perlu tahu yang anda kini perlu membayar 2 hutang (akaun) yang berbeza. Bank akan membuka satu akaun tambahan apabila anda membuat top-up pembiayaan.
Tetapi, ada juga bank yang menggabungkan pembiayaan sedia ada dengan top-up pembiayaan kepada satu akaun sahaja. Ini semua bergantung kepada bank.
Selain itu, anda tidak boleh menikmati kadar faedah yang lebih rendah dan tempoh pembiayaan yang lebih singkat kerana terikat dengan Effective Lending Rate.
2. Tempoh Pembiayaan
Berbeza dengan refinance yang membenarkan anda menikmati tempoh bayaran balik pembiayaan sehingga 35 tahun, untuk top-up pembiayaan, tempoh maksimum yang bank boleh tawarkan kepada anda cuma 10 tahun sahaja.
3. Risiko
Permohonan anda hanya akan diluluskan sekiranya nisbah DSR, CCRIS & CTOS sedia anda berada dalam keadaan baik.
Ini bermakna, anda tetap perlu menjaga komitmen dengan bank lain sungguhpun bayaran bulanan pembiayaan harta tanah sedia anda cantik.
Top-up pembiayaan merupakan salah satu fasiliti bank yang boleh anda gunakan sekiranya objektif anda adalah untuk mendapat tunai dengan lebih cepat berbanding menjual kediaman anda atau melakukan refinance.
Sekiranya anda tersilap langkah kelak, jangan pula salahkan bank. Bank tidak salah.
Semak kembali objektif anda kerana orang yang bijak menggunakan fasiliti bank mampu mengurangkan kadar pembiayaan harta tanah mereka.
Ada yang berjaya membuat untung atau sekurang – kurangnya mempercepatkan tempoh pembiayaan sehingga 5 tahun – 10 tahun.
Tiada apa yang percuma lagi di dunia ini. Top-up pembiayaan bukan duit percuma, sebaliknya dana oleh pihak bank yang anda wajib bayar semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan