Memaparkan catatan dengan label lawyer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lawyer. Papar semua catatan

Rabu, Januari 8

Berapa Kos Perlu Bayar Untuk Hartanah Berharga RM300,000 – RM700,000?

Berapa kos sebenar yang perlu kita ‘lebur’ untuk memiliki sesebuah hartanah?
Buat pengetahuan kita semua, kebanyakan bank menawarkan pembiayaan sehingga 90% daripada harga rumah untuk rumah pertama dan kedua.
Baki 10% harus disediakan bakal pembeli rumah tidak kiralah duit tersebut datangnya dari simpanan, ibu bapa atau pinjaman dari rakan-rakan.
Dan berdasarkan kajian, di antara punca utama pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera adalah rendah adalah kerana bakal pembeli hartanah tidak tahu akan kos dan tidak mempunyai wang deposit yang mencukupi untuk membayar wang pendahuluan.
Selanjutnya, kami akan kongsikan kos asas untuk jumlah wang pendahuluan beserta kos lain seperti yuran guaman, duti setem, surat perjanjian guaman dan duti setem untuk surat perjanjian.
Hartanah RM300,000
Untuk hartanah berharga RM300,000, kita perlu keluarkan tidak lebih daripada RM30,000 sebagai wang pendahuluan atau 10% dari harga semasa hartanah. Yuran guaman yang kita perlu keluarkan adalah RM3,000 dan duti setem memorandum pemindahan adalah RM5,000.
Manakala surat perjanjian yuran guaman adalah RM2,700 dan duti setem surat perjanjian adalah RM1,350 menjadikan kos keseluruhan yang kita perlu keluarkan adalah RM42,050.
Hartanah RM400,000
Kita perlu sediakan 10% wang pendahuluan dari harga semasa hartanah yakni RM40,000. Selain itu, kos-kos lain seperti yuran guaman sebanyak RM4,000 dan duti setem memorandum pemindahan sebanyak RM7,000.
Untuk surat perjanjian yuran guaman pula adalah sebanyak RM3,600 dan akhir sekali RM1,800 untuk duti setem surat perjanjian. Ini menjadikan kos keseluruhan yang perlu dikeluarkan untuk hartanah RM400,000 adalah sekitar RM56,400.
Hartanah RM500,000
Jangan terkejut jika kita mendapati kos wang pendahuluan untuk hartanah pada harga RM500,000 adalah RM50,000. Kita juga perlu menyediakan RM5,000 sebagai yuran guaman dan duti setem memorandum pemindahan sebanyak RM9,000.
Oh ya, untuk surat perjanjian yuran guaman pula adalah sekitar RM4,500 dan duti setem surat perjanjian adalah RM2,250. Kos keseluruhan yang anda perlu keluarkan adalah sebanyak RM70,750.
Hartanah RM600,000
Kos wang pendahuluan adalah RM60,000, manakala yuran guaman adalah sekitar RM5,800 dan duti setem memorandum pemindahan adalah sebanyak RM12,000.
Untuk kos seterusnya iaitu surat perjanjian yuran guaman dan duti setem surat perjanjian pula masing-masing adalah sebanyak RM5,320 dan RM2,700 menjadikan kos keseluruhan adalah RM85,820.
Hartanah RM700,000
Wang pendahuluan yang perlu disediakan adalah RM70,000 diikuti RM6,600 untuk yuran guaman dan RM15,000 untuk duti setem memorandum pemindahan.
Manakala surat perjanjian yuran guaman pula adalah RM6,760 dan duti setem surat perjanjian adalah RM3,150. Kos keseluruhan adalah sekitar RM100,790.

Selasa, September 10

Beli Rumah Lelong Merugikan?

Rumah lelong biasanya akan dijual di bawah harga pasaran. Ada yang dijual 10% daripada harga pasaran dan ada yang dijual sehingga 60% di bawah harga pasaran.
Sungguhpun rumah lelong dijual pada harga lebih murah berbanding rumah jenis subsale dan undercon, terdapat banyak risiko dan cabaran yang bakal ‘menghanguskan’ modal anda tanpa ilmu dan pengalaman yang betul.
Tahukah anda, lelongan yang berlaku di Malaysia diuruskan oleh pihak bank dan Mahkamah Tinggi?
Namun begitu, benarkah beli rumah lelong akan memberi pulangan yang lebih menguntungkan berbanding rumah jenis subsale?
Sebelum kita membuat sebarang spekulasi, sebenarnya terdapat lima faktor yang mampu menyebabkan kita boleh rugi dalam membeli rumah lelong.
  1. Tunggakan
Kita perlu faham bahawa punca utama rumah tersebut dilelong adalah gara-gara bekas pemilik rumah tersebut menghadapi masalah kewangan dalam menjelaskan komitmen bulanan bank.
Jangan lupa semak tunggakan yuran penyelenggaraan rumah jika anda beli rumah high-rise.
Jadi, kita sewajarnya membuat semakan jika hartanah tersebut mempunyai sebarang tunggakan seperti cukai pintu dan yuran penyelenggaraan.
Pastikan bekas pemilik rumah melangsaikan terlebih dahulu tunggakan rumah tersebut agar anda sebagai pemilik baru hartanah tersebut tidak perlu menjelaskan tunggakan tersebut.
Namun begitu, janganlah anda susah hati kerana ada bank yang akan melindungi kos tersebut sehingga 6 tahun sebelum tarikh lelong dalam surat perjanjian jual beli hartanah.
  1. Kaveat
Kaveat merupakan halangan dalam hartanah yang diletakkan individu persendirian dan organisasi untuk melindungi hartanah tersebut.
Sila semak sekiranya hartanah lelong tersebut mempunyai kaveat hartanah seperti kaveat persendirian, kaveat pemegang-lien dan kaveat amanah.
Kaveat pada kebiasaannya akan terbatal selepas tempoh 6 tahun. Kita pastinya tidak mempunyai masa sebanyak itu. Jalan yang terbaik ialah berbincang dengan ejen lelong dan peguam hartanah berkenaan kaveat tersebut.
  1. Dalaman Rumah
Apa yang tidak menyeronokkan tentang rumah lelong ialah kita tidak mempunyai maklumat berkenaan dalaman rumah tersebut samada kondisinya kosong, fully furnished atau rosak!
Oleh yang demikian, kita berkemungkinan perlu menanggung kos yang lebih jika sistem air atau pendawaian rumah tersebut rosak.
Namun begitu, ada juga rumah lelong yang berada dalam keadaan baik bahkan telah direnovasi sepenuhnya oleh pemilik asal hartanah tersebut.
  1. Lokasi
Sesetengah hartanah lelong yang diiklankan pada harga yang menarik terletak di kawasan yang tidak mempunyai sebarang fasiliti seperti MRT, bank, kedai makanan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, sebelum kita pergi ke dewan lelong atau menghantar ejen lelong untuk membida, ada baiknya kita semak lokasi hartanah dan booster hartanah bagi kawasan tersebut.
Di antara booster hartanah adalah pasaraya, lebuhraya, sekolah, klinik, bank, tempat beribadat, kedai serbaneka dan kemudahan pengangkutan awam seperti MRT atau LRT.
Pastikan hartanah lelong tersebut berada dalam lingkungan 3km – 5km dari booster hartanah.
  1. Potensi Pelaburan
Dalam apa jua jenis pelaburan, pulangan pelaburan adalah perkara paling utama dalam menentukan potensinya.
Jika kita membeli hartanah lelong di atas kapasiti untuk didiami bersama keluarga, kita mungkin tidak perlu melakukan sebarang kajian yang mendalam tentang potensi hartanah tersebut.
Keadaan ini ternyata berbeza jika tujuan utama kita beli hartanah lelong untuk pelaburan jangka panjang. Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan membuat kajian mengenai jenis pekerjaan, kuasa beli dan potensi lain penduduk dan kawasan tersebut.
Sekiranya kawasan tersebut adalah kawasan tumpuan pelancong, kita boleh jangka untuk menyewakannya secara harian dan mingguan kepada pelancong yang menziarahi kawasan tersebut.
Jika kawasan tersebut merupakan kawasan perindustrian, kita boleh sewakan secara bulanan kepada pekerja-pekerja di kawasan perindustrian tersebut.
Unjuran potensi pelaburan kita sangat bergantung kepada jenis pekerjaan, kuasa beli dan potensi kawasan tersebut.
Apa yang jelas di sini adalah, cabaran dan risiko rumah jenis lelong adalah sama dengan rumah jenis undercon dan subsale.
Sungguhpun kita membeli rumah tersebut di bawah harga pasaran, itu bukanlah alasan yang kuat untuk mengatakan kita telah pun membuat keuntungan dalam pelaburan hartanah. Perlu teliti lagi beberapa perkara bagi memastikan pulangan yang lumayan dalam membeli rumah lelong.